Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain bola sepak tempatan tidak melepaskan peluang untuk menunjukkan solidariti terhadap isu semasa membabitkan stoking tertera nama Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Super Mart.

Perkara ini menunjukkan mereka peka dengan situasi semasa dan pujian harus diberikan meskipun hanya berkongsi gambar boikot kedai berkenaan di Instagram 'story' milik masing-masing.

Antara pemain yang dilihat berani berkongsi boikot kedai itu adalah Safawi Rasid, Adam Farhan, Syahrul Azwari dan Haqimi Azim Rosli.

Selain itu, terdapat juga beberapa pemain lain mengambil pendekatan dengan berkongsi status PU Amin bagi memberi gambaran mereka juga menyokong serta menyeru orang ramai untuk memboikot kedai itu.

"Dia letak kat kaki, tak kan diam je kita. Mana maruah kita? Mudah sangat MAAF! Boikot je! (isu stoking tertera nama Allah)," tulis PU Amin.

Pemain baharu Penang FC, Khairil Anuar atau lebih dikenali sebagai Beto juga menyokong agar orang ramai agar tidak berurusan dengan kedai itu lagi.

"Boikot der boikot. Nama Allah dia buat jadi sock (stoking)," tulisnya.

Selain Beto, ramai lagi pemain melakukan perkara sama di Instagram masing-masing antaranya pemain kebangsaan Bawah 23 Tahun seperti Aliff Izwan, Syahir Bashah, Azim Al Amin dan beberapa pemain tempatan yang lain antaranya Danial Asri, Daniel Edzuan, Fazly Mazlan, Nik Sharif dan ramai lagi.

Terdahulu, pada 13 Mac lalu tular di media sosial penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa kedai rangkaian serbaneka KK Supermart.

Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya tidak memboikot perniagaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 2:10 PM