FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pasir Puteh dikenal pasti daerah mempunyai paling banyak kawasan titik panas yang berisiko menyebabkan kebakaran di Kelantan, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Zainal Madasin.

Menurutnya, 12 daripada 38 kawasan titik panas yang berada di daerah itu adalah Mukim Gaal, Mukim Bukit Awang, Mukim Selising, Mukim Cherang Ruku, Kampung Jeram, Kampung Telipot, Jalan Pasir Puteh Bypass dan Padang Mat Amat.

Katanya, kawasan titik panas lain berada di daerah Bachok (tujuh), Pasir Mas (enam), Kota Bharu (enam), Gua Musang (enam) dan Tumpat (satu).

"Kebanyakan kawasan titik panas ini kerap berlaku kebakaran tanah gambut, sampah, belukar dan lalang.

"Bagaimanapun setakat ini kami belum menerima sebarang panggilan mengenai kebakaran terbuka," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di rumah kakitangan JBPM Kelantan di Kampung Pecah Mulong, Peringat, di sini, hari ini.

Zainal berkata, pihaknya akan sentiasa melakukan rondaan di kawasan dikenal pasti dan mengarahkan semua Balai Bomba dan Penyelamat agar peka.

Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka secara tidak terkawal ketika musim panas ni.

Terdahulu, beliau bersama Pengasas Yayasan Raja Shamri (YRS) Raja Shamri Raja Husin hadir menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas, lampin pakai buang dan wang tunai bagi meringankan beban anggota JBPM Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 2:27 PM