Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kerjasama dalam operasi menyelamat di air dipergiatkan antara pasukan penyelamat negara ini dengan agensi bomba Thailand khususnya berhampiran sempadan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kerjasama antara dua pihak sudah lama terjalin jika membabitkan operasi menyelamat mangsa lemas, namun pihaknya bercadang untuk mewujudkan kerjasama strategik secara dokumentasi.

Menurutnya, ia turut termasuk program latihan dan kursus membabitkan penyelamatan di air bersama dalam usaha memenuhi keperluan itu.

"Kita sentiasa bekerjasama dengan bomba Thailand dalam beberapa operasi yang membabitkan kes lemas dan juga berbincang untuk memberi bantuan dari semasa ke semasa, malah akan terus memperatkan hubungan kerana kerap berlaku bencana dan kejadian di kawasan sekitar sempadan Malaysia-Thailand.

"Salah satu program yang kita rancang adalah membuat latihan dan kursus bersama membabitkan penyelamatan di air. Saya menyasarkan awal tahun depan sudah ada satu kerjasama strategik secara dokumentasi dengan minta supaya didrafkan 'MoU' yang lebih formal.

"Untuk menjadikan ia satu perikatan rasmi kita akan teruskan dan memerlukan masa kerana perlu (dirujuk) di bahagian undang-undang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir dalam majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 dan sijil Perkhidmatan 30 tahun pegawai dan anggota JBPM Kelantan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya membuat permohonan sebanyak 50 bot dalam Rolling Plan 3 (RP3) sebagai tambahan aset dan berharap mendapat petimbangan.

Menurutnya, pada masa sama proses pembinaan lima bot pemadam kebakaran (fire fighting boat) juga sedang dijalankan dan prototaipnya dijangka siap menjelang Mac tahun hadapan.

"Kosnya adalah lebih kurang RM17 juta manakala penempatannya masih lagi belum dikenal pasti tapi kita akan beri keutamaan kepada negeri yang memerlukan," katanya.

Hamdan Wahid menyampaikan sijil APC 2021 kepada pegawai dan anggota JBPM Kelantan, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Hamdan Wahid menyampaikan sijil APC 2021 kepada pegawai dan anggota JBPM Kelantan, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 3:45 PM