KERATAN laporan portal berita Harian Metro pada 16 Mac. FAIL HM Digital
KERATAN laporan portal berita Harian Metro pada 16 Mac. FAIL HM Digital


Kuala Lumpur: Tiada lokasi baru disahkan positif penyakit selesema burung (H5N1) di Kelantan sejak 10 hari lalu, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

JPV dalam kenyataan berkata, sehingga ini, 36 kawasan disahkan positif wabak itu membabitkan enam jajahan iaitu Kota Bharu di 15 lokasi, Pasir Mas (enam), Tumpat (lima), Bachok (enam), Pasir Puteh (tiga) dan Tanah Merah (satu).

“Operasi pelupusan selesai dijalankan di 36 lokasi berkenaan. Secara keseluruhan, 56,953 ternakan unggas dan 17,531 telur dimusnahkan serta 3,792 sampel diambil daripada 647 pemilik ternakan unggas,” kata kenyataan itu.

Melalui operasi sekatan jalan raya, 5,415 kenderaan diperiksa dengan 30 kes rampasan dibuat membabitkan 165 unggas.

Sehingga ini, tiada jangkitan H5N1 dikesan dalam kalangan manusia, kata JPV.

Kerajaan Kelantan mengisytiharkan H5N1 sebagai bencana negeri pada 15 Mac lalu.

Ia berikutan beberapa ayam kampung mati akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, pada 6 Mac lalu.

JPV berkata, negeri lain kekal bebas wabak itu, namun berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 4:32 PM