Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: "Saya bersyukur melihat lori bomba datang, ketika saya sudah tidak berdaya mendayung perahu membawa isteri dan anak yang juga orang kurang upaya (OKU) untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," luah Mat Hussin Saleh, 66, dari Kampung Kusar, di sini.

Dia adalah antara 45 mangsa daripada 10 keluarga yang diselamatkan anggota bomba ketika jabatan itu membuat tinjauan bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan Jainal@Zainal Madasin.

Mat Hussin berkata, belum sempat dia meminta tolong, bomba sudah bertanya jika dia memerlukan bantuan dan tidak menyangka individu itu adalah Pengarah JBPM Kelantan sendiri.

"Saya menghargai usaha beliau yang sanggup turun daripada lori membantu menolak perahu sebelum membawa sendiri kami ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok, di sini.

"Sebenarnya kampung kami ini memang sukar untuk dilalui kenderaan kerana jalan masuk digenangi air dengan paras tinggi sekitar 0.4 meter.

"Untuk ke kawasan selamat, saya perlu mendayung perahu merentasi banjir sejauh lebih tiga kilometer, jaraknya agak jauh bagi saya yang sudah berusia," katanya ketika ditemui selepas diselamatkan bomba di Kampung Kusar, semalam.

Kampung Kusar antara penempatan yang mula digenangi banjir sejak semalam susulan paras air Sungai Golok mencatat bacaan melebihi paras bahaya.

Sementara itu, Zainal berkata, pada awalnya tinjauan itu sebagai salah satu usaha untuk bomba mendekati mangsa supaya berpindah awal, tetapi tidak menyangka ramai mangsa yang sudah terperangkap dan sedang menanti bantuan.

"Alhamdulillah, kehadiran kami juga pada waktu yang tepat.

"Sejujurnya, apabila saya sendiri turun ke lapangan, ia memberikan suatu semangat untuk memastikan seluruh anggota di bawah jagaan saya terus komited dalam memberi khidmat terbaik kepada mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 8:57 AM