BERABAD-abad lamanya dunia Islam menjadi dunia kecemerlangan ilmu. FOTO Arkib NSTP
BERABAD-abad lamanya dunia Islam menjadi dunia kecemerlangan ilmu. FOTO Arkib NSTP
Mohd Rizal Azman Rifin

Agama Islam adalah agama yang syumul, yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Islam bukan setakat mengutamakan gaya hidup kerohanian, sebaliknya nilai-nilai kehidupan duniawi juga sangat dititik-beratkan. Dengan kata lain, tiada satu segi kehidupan pun yang dipinggirkan oleh Islam.

Kemunculan Islam telah membawa sinar baru dalam kehidupan manusia. Jika sebelum ini, budaya menuntut ilmu dan membaca terhad untuk golongan elit sahaja, manakala masyarakat umum tertinggal jauh di belakang kerana kekal dalam keadaan buta huruf, tetapi senario itu berubah sama sekali apabila Islam telah memberi ruang dan membuka peluang seluasnya untuk sesiapa sahaja memburu ilmu pengetahuan.

Maka, lahirlah begitu ramai umat Islam yang bergelar ilmuwan yang berjaya merintis apa sahaja bidang khususnya dalam ilmu sains dan teknologi. Ketika sisi rantau dunia lain masih terbelenggu dengan kegelapan ilmu, tetapi di dunia Islam masyarakatnya telah terkehadapan sehingga memberikan manfaat kepada umat dunia keseluruhannya.

Bergerak atas pegangan kukuh dengan 'pesanan wahyu' Surah al-Alaq yang bermula dengan perintah baca, seluruh gerak nadi umat Islam terpanggil berkecimpung aktif sebagai pencinta buku, pemburu ilmu. Tiada istilah, ilmu itu susah, ilmu ini senang kerana bagi umat Islam ketika itu, segalanya perlu dan harus diburu.

Pesanan Baginda Nabi SAW yang pernah mengingatkan kita: "Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga." (Hadis riwayat Muslim). Ini memberikan motivasi semangat untuk menjadikan aktiviti meneroka ilmu sebagai budaya hidup.

Berabad-abad lamanya dunia Islam menjadi dunia kecemerlangan ilmu. Berkurun-kurun lamanya, ilmuwan Islam menjadi 'panglima ilmu' yang menggalas amanah agama dan ummah untuk mencelikkan minda sehingga terhasilnya aneka penemuan sains dan teknologi. 

Namun, sayang sekali budaya murni penuh erti itu kian lama kian malap. Umat Islam seolah-olah sedang dilanda sindrom takutkan ilmu khususnya ilmu sains dan teknologi. Situasi itu dapat kita lihat di negara kita sendiri. Murid dan pelajar sekolah kini, seboleh-bolehnya mahu menghindarkan diri daripada kelas beraliran sains.

Kekuatan minda umat Islam yang suatu waktu dahulu megah selaku peneraju bidang sains dan teknologi, kini gelaran itu semakin hilang. Generasi muda hari ini yang kini masih di alam pengajian seharusnya disuntik semangat mereka supaya terus memantapkan diri agar gelaran yang hilang selaku 'panglima ilmu' kembali berada di tangan umat Islam.

Jadi, untuk mengembalikan aura kegemilangan silam seharusnya bermula sekarang dengan gemblengan ikhtiar bersepadu semua pihak. Kita tentunya tidak sesekali ingin menyaksikan yang umat Islam terus ketandusan ilmuwan ulung yang memberikan manfaat buat ummah dan dunia sejagat. Kita, sebaliknya pasti mengimpikan akan lahir semula generasi 'pewaris Ibnu Sina Abad Ke-21' yang unggul memayungi kesejahteraan masyarakat dunia dengan penampilan daya intelektual yang tinggi.

Kita tentunya mahu melihat bakal lahirnya generasi 'pewaris al-Jazari junior' yang bergelar ilmuwan Muslim yang mampu bertindak selaku 'pencetus inovasi' bertaraf dunia. Justeru, bermula daripada anak-anak kita yang masih berada di bangku sekolah hari ini, mereka perlu diberikan bimbingan dan motivasi yang berterusan sebagai usaha kita mengembalikan imej dan reputasi ummah dalam lapangan keilmuan. 

Itu dalam bidang ilmu. Sebenarnya Islam juga telah memperkenalkan 'landskap' sosial yang baharu dengan menampilkan aspek kebersihan dan keindahan alam sekitar sebagai antara ciri budaya hidup yang seharusnya diterapkan. 

Tidakkah kita sedia mengetahui aspek memelihara kebersihan dan menjaga keindahan alam sekitar adalah suatu amalan murni yang disanjung tinggi oleh agama. Banyak pesanan yang diperingatkan oleh Baginda Nabi SAW yang menyentuh soal kebersihan. Ini menunjukkan betapa Islam sangat mengutamakan aspek bersih dan indah. 

Pesan Baginda Nabi SAW: "Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Namun, kita begitu sedih dengan sikap sesetengah masyarakat yang memandang sebelah mata sahaja aspek memelihara kebersihan dan keindahan alam sekitar. Tabiat membuang sampah dan sisa pepejal ke dalam sungai masih berlaku hingga menjadi isu hangat diperkatakan. Ini kerana banyak sungai di negara kita yang dikategorikan sebagai sungai tercemar.

Begitulah juga, dengan tabiat buruk membuang sampah dan sisa makanan sesuka hati di kawasan awam yang sekali gus mengundang suasana yang meloyakan. Rasa megah dan berbangga dengan adanya kebersihan di kawasan awam kian menghilang kerana mungkin beralasan ada pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan bahagian pembersihan dan penjagaannya.

Sikap kebertanggungjawab dan sama-sama memikul tanggungjawab seakan-akan telah terhakis dan hilang, lalu yang timbul hanyalah sikap mementingkan diri sendiri sahaja. Sepatutnya kita selaku umat Islamlah yang berkewajipan menonjolkan tabiat murni yang tidak suka melihat kekotoran berlaku di sekeliling mereka.

Amat malang nilai Islam itu kini telah 'dirampas' oleh umat yang lain. Misalnya masyarakat Jepun yang bukan Islam itu begitu ketara dalam mengutamakan nilai memelihara kebersihan. Dari anak-anak yang masih kecil hinggalah ke peringkat golongan tua, tangan-tangan mereka sanggup kotor untuk mengutip sampah. Bagi mereka biar kotor tangan, asalkan kebersihan persekitaran terjaga bersih. Sepatutnya kitalah yang berwatak sebegitu kerana kita memiliki kitab dan sunah yang membimbing kita mengutamakan kebersihan.

Oleh itu, usaha-usaha pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi sekolah yang menekankan aspek menjaga kebersihan dengan meminta semua warga sekolah khususnya murid-murid agar menjadikan nilai utamakan kebersihan dan keindahan alam sekitar perlu terus dilaksanakan kerana impaknya sangat positif dan mengembalikan nilai Islam yang hilang.

Sesungguhnya, apabila kita bermuhasabah diri, maka kita tentunya akan menggelengkan kepala kerana banyaknya nilai Islam, baik dalam ekonomi, sosial dan politik yang kian hilang. Kita wajib berusaha mengembalikannya semula.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 7:01 AM