Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada 10 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Dewan kemudian dimulakan dengan bacaan doa oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin sebelum Azhar mengisytiharkan persidangan Dewan Rakyat bermula.

Azhar kemudian menjemput Al-Sultan Abdullah menyampaikan Titah Diraja.

Sidang Parlimen ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung sehingga 12 Oktober 2021 dan Dewan Negara pada 4 Oktober hingga 26 Oktober 2021.

AL-SULTAN Abdullah berkenan menyampaikan titah Diraja. FOTO Bernama
AL-SULTAN Abdullah berkenan menyampaikan titah Diraja. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 11:12 AM