MOHD Basir Mohd Nor tidak pernah berhenti berharap untuk melihat anak sulungnya, Ahmad Arfan Farhat kembali sembuh. FOTO ihsan Mohd Basir Mohd Nor
MOHD Basir Mohd Nor tidak pernah berhenti berharap untuk melihat anak sulungnya, Ahmad Arfan Farhat kembali sembuh. FOTO ihsan Mohd Basir Mohd Nor
Redzuan Muharam


Kuala Terengganu: "Keadaannya masih sama, tiada sebarang perubahan...ibarat bayi yang baharu lahir."

Begitu reaksi Mohd Basir Mohd Nor, 42, ketika diminta berkongsi perkembangan anak sulungnya, Ahmad Arfan Farhat, 14, atau nama manjanya Arfan yang menghidap penyakit saraf dikenali sebagai adrenaleukody strophyzx-linked sejak lima tahun lalu.

Menurut Mohd Basir, berikutan penyakit dihidapi, Ahmad Arfan Farhat tidak dapat berdikari dan perlu dipantau setiap masa.

"Buat masa ini, isteri yang ada lebih banyak masa dengan Arfan kerana saya keluar berniaga di kedai makan kakak ipar untuk cari rezeki.

"Jadi, isteri memang tak dapat bantu daripada segi kewangan dan harapkan saya sepenuhnya kerana tak boleh tinggalkan Arfan.

"Kalau nak upah pengasuh pun tak mampu. Lagipun, siapa sanggup jaga kerana dia tak boleh jalan, perlu 100 peratus bantunya termasuk angkatnya pergi mandi," katanya.

Menurut Mohd Basir, Ahmad Arfan Farhat ada menerima elaun bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Namun Mohd Basir berkata, ia tidak mencukupi kerana kos perbelanjaan Ahmad Arfan Farhat tinggi.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 1624 3290 8321 atas nama Mohd Basir Mohd Nor atau Bank Islam di 1305 3020 4273 88 atas nama Aizan Md Shah.

"Selain susu, Arfan masih pakai lampin pakai buang enam ke tujuh keping sehari.

"Jadi, bekalan lampin pakai buang cepat habis dan itu belum lagi makanan tambahan homeopati yang penting kerana jika tidak makan, dia akan demam.

"Sebagai bapa, saya cuba ikhtiar untuk Arfan dengan harapan dia kembali sembuh. Cuma kos perbelanjaannya bukan sedikit, saya mohon ada pihak sudi membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 7:31 AM