NUR Amelia Abas melakukan kajian pokok teratai di Tasik Chini.
NUR Amelia Abas melakukan kajian pokok teratai di Tasik Chini.
Mohd Rafi Mamat


TASIK Chini yang terkenal dengan lagenda 'Naga Sri Gumum,' seolah-olah menggamit kehadiran Pegawai Penyelidik, Nur Amelia Abas, 43, datang mencurah ilmu untuk melakukan kajian dalam pelbagai bidang yang diperlukan.Selain melakukan kajian membabitkan flora dan fauna serta tumbuhan akuatik, kualiti air termasuk hidupan liar, tumpuan juga diberikan terhadap sosioekonomi masyarakat Orang Asli setempat.

Nur Amelia berkata, dia mula mengenali Tasik Chini sejak 24 tahun lalu selepas mengikuti program ekspedisi saintifik Tasik Chini ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurutnya, selepas menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Sekitaran, dia ditawarkan berkhidmat dengan Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Fakulti Sains dan Teknologi UKM pada 2008.

"Bak ungkapan Melayu 'Orang mengantuk disorongkan bantal,' minat yang mendalam terhadap bidang penyelidikan mula diterjemahkan di Tasik Chini yang sememangnya memiliki pelbagai keunikan untuk terus diteroka dan dikongsi hasil penemuan dengan masyarakat.

"Sejak di bangku sekolah saya memang meminati bidang penyelidikan dan hari ini saya berpuas hati dan berbangga menjadi individu yang ditugaskan untuk melakukan kajian dalam pelbagai bidang diperlukan," kata ibu pada dua cahaya mata itu.

Beliau yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, pada peringkat awal menetap di PPTC yang terletak dalam hutan dan beberapa meter dari Tasik Chini, dia agak sukar menerimanya namun selepas beberapa bulan timbul rasa seronok dan gembira dengan suasana persekitaran bertemankan unggas dan hutan semula jadi.

Nur Amelia berkata, selain melakukan kajian dia juga turut terbabit dalam aktiviti mempromosi Tasik Chini sebagai produk pelancongan yang mempunyai tarikan tersendiri.

"Terdapat 12 tasik atau laut seperti Gumum, Balai, Chenahan, Jerangking, Tengkok, Mempitih, Kenawar, Geraham Buaya, Serodong, Batu Busuk, Labuh, Jemberai. Malah terdapat juga beberapa pulau kecil seperti Pulau Kura-kura, Pulau Balai, Pulau Bangau, Pulau Besar dan Permatang Badak," katanya.

Katanya, Tasik Chini juga terletak hampir dengan Sungai Pahang dan apabila musim tengkujuh paras air Tasik Chini meningkat. Faktor berkenaan juga menyebabkan kejadian banjir.

"Selepas 16 tahun berkhidmat di PPTC pengalaman paling manis dapat dilakar apabila berjaya membantu kerajaan Pahang dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) tahun lalu.

"Saya salah seorang dalam pasukan yang bertanggungjawab menyediakan laporan secara berkala membabitkan pelbagai aspek dalam memastikan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini dapat terus kekal sekali gus mengharumkan nama Pahang seterusnya negara ini.

"Sebagai penyelidik, tiada yang lebih bermakna melainkan dapat meletakkan Tasik Chini pada landasan sebenar dan dinobat sebagai khazanah negara begitu bernilai yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.

Nur Amelia yang mendapat sokongan suami, Mohd Radzi Ab Rahim, 43, kini bertugas sebumbung dengannya menambah, tugasnya turut memerlukan beliau terbabit membantu masyarakat Orang Asli menambahkan sumber pendapatan termasuk memberi latihan. Katanya, sebahagian golongan dewasa Orang Asli di beberapa kampung di kawasan Tasik Chini dikenalinya. Dari masa ke masa, perjumpaan diadakan sebagai bukti keprihatinan PPTC pada masyarakat pribumi itu yang terlebih dahulu menetap di sini.

Menurutnya, menaiki bot antara aktiviti yang dilakukan dalam Tasik Chini untuk melihat tumbuhan rumpai air termasuk pokok teratai. Tinjauan turut membabitkan hidupan air seperti ikan yang menjadi sumber makanan Orang Asli terutama suku kaum Jakun.

"Sebagai pegawai penyelidik dan pengurus PPTC saya bertuah mendapat sokongan daripada tujuh kakitangan, kami bekerja dalam satu kumpulan memikul setiap tanggungjawab yang diamanahkan walaupun terpaksa tinggal jauh dari dunia luar.

"Setiap bulan kami juga menerima kehadiran lebih 100 pengunjung dalam dan luar negeri yang datang untuk menjalankan aktiviti berkaitan alam sekitar, melihat galeri selain berjalan di atas laluan menuju ke kawasan tasik selain menaiki bot mengelilingi Tasik Chini seterusnya singgah di kampung Orang Asli," katanya.

Beliau akui puas apabila terbabit dalam aktiviti konservasi, sokongan, logistik dan pembangunan ekonomi Orang Asli secara lestari. Kini PPTC turut menjadi tumpuan golongan kenamaan yang datang untuk berehat sambil melihat suasana hutan.

"Tasik Chini perlu terus dipelihara bagi memastikan khazanah negara itu tidak terus lenyap dalam peta negara," katanya yang pernah bertemu dengan ular besar dan ikan toman ketika meninjau persekitaran Tasik Chini.

Beliau juga turut terbabit menyelaras aktiviti penyelidikan dalam pelbagai bidang yang dilakukan beberapa universiti tempatan dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 7:01 AM