LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah akan melakukan pemeriksaan secara berkala di beberapa kawasan penempatan padat di Kuala Kedah yang didakwa tidak mempunyai kemudahan pili bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pemeriksaan berkala perlu dilakukan untuk memastikan kesesuaian kawasan terbabit sebelum cadangan untuk memasang pili bomba dilakukan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kawasan itu adalah di bawah jagaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja.

"Berdasarkan rekod, keseluruhan kawasan Kuala Kedah mempunyai 1,840 pili bomba awam dan 94 pili bomba swasta.

"Bagaimanapun bukan semua tempat boleh dipasang pili bomba kerana kita perlu mengenalpasti beberapa aspek dan keperluan serta kesesuaian dengan infrastruktur yang terdapat di kawasan itu.

"Sebelum pili bomba dipasang, keperluan untuk mengenalpasti laluan sedia ada paip domestik yang sistematik di situ terlebih dahulu supaya ia dapat berfungsi dengan baik," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kedah, di sini.

Semalam, Harian Metro melaporkan kebimbangan penduduk di Kuala Kedah dengan ketiadaan pili bomba terutama di penempatan padat di Kampung Ulu, Lorong Mayat, Masjid Lama dan sepanjang laluan ke Kampung Sematang Pinang.

ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan pada pili bomba di sekitar Kuala Kedah.
ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan pada pili bomba di sekitar Kuala Kedah.

Penduduk mendakwa terdapat pili bomba di kawasan itu sebelum ini, namun ia 'hilang' berkemungkinan dicuri atau dirosakkan.

Wan Mohd Hamizi berkata, pihaknya sentiasa memantau dan menilai aspek keperluan penduduk, bukan sahaja di kawasan Kuala Kedah tetapi semua kawasan di negeri ini.

Beliau berkata, memang tak dinafikan taburan dan kepadatan penduduk beberapa kampung di Kuala Kedah memang agak tinggi dan kedudukan kediaman agak rapat disebabkan jumlah penduduk yang semakin meningkat.

"Kebanyakan rumah di kawasan itu adalah dalam kategori separa kekal iaitu bahagian atas dengan binaan papan dan di bahagian bawah pula diperbuat daripada batu-bata.

"Namun kita sentiasa mengadakan rancangan pra insiden bomba dengan mengadakan latihan membabitkan komuniti di kawasan itu selain mewujudkan program teman pili bomba secara berterusan setiap tahun bagi memastikan penduduk sentiasa mengutamakan keselamatan termasuk di dalam rumah sendiri," katanya.

Wan Mohd Hamizi berkata, selain itu bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Kedah juga amat diperlukan kerana mereka memberi bantuan awal untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak.

Beliau berkata, walaupun hanya terdapat satu PBS di Kuala Kedah namun kemampuan mereka membantu JBPM adalah diyakini dengan kekuatan dua jentera termasuk jentera tangki yang berkapasiti 16,000 air.

"Selain itu, sumber air terbuka di kawasan itu termasuk sungai, air longkang dan air laut juga boleh digunakan untuk memadamkan kebakaran sekiranya berada dalam situasi tertentu.

"Pada masa sama, penduduk juga perlu memainkan peranan bagi memastikan kebakaran tidak berlaku termasuk tidak membiarkan pembakaran terbuka tidak dikawal ketika cuaca panas, memadam api selepas memasak selain menutup semua suis ketika meninggalkan kediaman.

"Sekiranya pili bomba ada di kawasan itu, pastikan ia dalam keadaan baik dan tidak dihalang atau ditutup sehingga ia terlindung.

"Tindakan boleh diambil berdasarkan Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) sekiranya menyembunyikan dan menyalahgunakan pili bomba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 6:00 AM