YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat. FOTO BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan baginda akan melihat perbelanjaan kerajaan dengan lebih teliti selain memastikan setiap cadangannya adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan.

Baginda berharap semasa pemerintahannya, kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun.

Sultan Ibrahim turut melahirkan kekecewaannya apabila dimaklumkan bahawa kerajaan hari ini sedang menanggung beban hutang yang semakin besar.

"Kerana sejak tahun 1998 kerajaan sentiasa berada dalam kedudukan defisit fiskal. Adakah beban hutang ini yang akan kita tinggalkan untuk ditanggung oleh anak cucu kita nanti?

"Dengan keadaan kewangan kerajaan yang lemah ini, adalah sukar untuk kerajaan melaksanakan projek pembangunan baharu atau memberikan suntikan kewangan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi," titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor dan Alice Lau Kiong Yieng serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Mengulas lanjut, Sultan Ibrahim juga menyokong hasrat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil langkah penjimatan yang drastik dan melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar.

Titah baginda, dasar-dasar baharu juga perlu terus diperkenalkan untuk melengkapi dasar-dasar nasional lain seiring dengan pendekatan negara yang lebih menyeluruh.

"Antaranya pengenalan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang merupakan satu langkah pembaharuan bagi meningkatkan urus tadbir, pengurusan kewangan awam dan kebertanggungjawaban," titah baginda.

Baginda juga berpuas hati dengan langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan dalam menyelesaikan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

"Saya berharap agar perjanjian yang dimeterai ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak berkepentingan dalam memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 12:23 PM