TANGKAP layar daripada video Reuters menunjukkan lokasi kejadian.
TANGKAP layar daripada video Reuters menunjukkan lokasi kejadian.
BERNAMA

Yala, Thailand: Polis Thailand menahan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dengan letupan bom kereta di Yala, selatan Thailand pada awal pagi Ahad yang meragut satu nyawa.

Ketua Polis Bannan Sata, Kolonel Polis Ranon Surawit berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada malam kelmarin berhampiran flat polis Bannan Sata.

"Kami berjaya menahan seorang suspek lelaki dan hasil siasatan mendapati suspek bertugas sebagai pegawai teknikal dengan Majlis Perbandaran Mukim Than To. Siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengenalpasti pembabitan suspek dengan kejadian bom itu," katanya ketika dihubungi Bernama, Isnin.

Beliau berkata, siasatan mengenai letupan bom itu masih berjalan dan suspek dihantar ke pusat di Kem Renger ke-41 Wang Praya Raman untuk siasatan lanjutan.

"Semua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Bannang Sata dan usaha menjejaki individu dan kumpulan yang terbabit dalam serangan itu masih berjalan," katanya.

Sementara itu, Ranon berkata, wanita berumur 45 tahun yang maut dalam kejadian bom itu dikenal pasti sebagai seorang warga Thailand yang bertugas sebagai guru tadika.

Kejadian letupan bom pada 10.10 pagi waktu tempatan di flat polis Bannan Sata itu menyebabkan 45 orang cedera selain kerosakan kepada flat polis, rumah dan puluhan kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 7:23 AM