TETAPKAN masa tidur dan bangun anak berdasarkan jumlah tidur yang diperlukan membantu mereka mendapatkan tidur dan rehat yang mencukupi.
TETAPKAN masa tidur dan bangun anak berdasarkan jumlah tidur yang diperlukan membantu mereka mendapatkan tidur dan rehat yang mencukupi.
Suliati Asri


TIDUR sangat penting untuk mengekalkan kesihatan yang baik sama ada golongan dewasa mahu pun kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak, tidur yang cukup membolehkan mereka mencapai pembesaran dan perkembangan optimum.

Namun, ramai ibu bapa yang mengalami masalah untuk menidurkan anak lebih-lebih lagi yang sedang aktif.

Waktu tidur boleh menjadi zon pertempuran apabila anak-anak kecil tidak menetap dan tertidur.

Tip yang dikongsikan ini mungkin boleh membantu ibu bapa memenangi 'pertempuran' ini sekali gus dapat memastikan anak memperoleh tidur yang cukup dan berkualiti.

Tetapkan masa bangun

Tetapkan masa bangun berdasarkan jumlah tidur yang diperlukan anak dan jam berapa mereka tidur.

Dengan membuat rutin bangun tidur seawal terutama anak di prasekolah, ia juga membantu ibu bapa mudah untuk menguruskan mereka keluar awal ke sekolah.

Apa yang penting, perlu konsisten dengan jadual. Apabila anak tidur dan bangun pada masa yang sama setiap hari, ia akan menjadikan kehidupan semua orang lebih mudah.

Buat rutin waktu tidur yang konsisten

Rutin adalah sangat penting terutamanya untuk bayi, kanak-kanak dan kanak-kanak prasekolah.

Justeru, selepas makan malam, berikan anak bermain sebentar, mandi, memberus gigi, membaca buku cerita kemudian tidur.

Fokus untuk rutin yang selesa dan relaks serta menetapkan suasana waktu tidur yang ideal. Apabila ia dilakukan dengan konsisten, lama kelamaan badan anak mungkin mula mengantuk secara automatik pada permulaan rutin.

Hentikan gajet dua jam sebelum tidur

Hormon melatonin adalah bahagian penting dalam kitaran tidur-bangun. Apabila melatonin berada pada tahap tertinggi, kebanyakan orang akan mengantuk dan bersedia untuk tidur.

Namun, cahaya biru dari skrin televisyen, telefon atau monitor komputer boleh mengganggu pengeluaran hormon melatonin.

Hal ini secara tidak langsung akan mengganggu 'mood' tidur anak. Oleh itu, hentikan anak dari menonton televisyen, bermain permainan video, bermain telefon atau komputer sebelum tidur.

Jadikan bilik tidur sebagai zon bebas skrin atau sekurang-kurangnya pastikan semua skrin gelap pada waktu tidur.

Pastikan juga telefon anda dalam keadaan senyap apabila berada di dalam bilik anak atau atau jangan membawa telefon ke dalam bilik anak sama sekali.

Kurangkan tekanan sebelum tidur

Satu lagi hormon yang memainkan peranan dalam tidur adalah kortisol yang juga dikenali sebagai 'hormin tekanan'. Apabila tahap kortisol tinggi, badan anak sudah untuk tidur.

Oleh itu, pastikan aktiviti sebelum mereka tidur adalah aktiviti yang menyenangkan dan kurang tekanan.

Selain itu, elak untuk memarahi atau tinggi suara dengan mereka sebelum tidur. Emosi tu boleh terbawa- bawa sampai ke dalam mimpi mereka.

Kesannya, anak tak dapat tidur berkualiti dan mungkin ada yang akan meragam, menangis atau terjaga dari tidur di tengah malam.

Katil hanya untuk tidur

Bagi memudahkan anak-anak tidur, tetapkan peraturan bahawa katil hanya sebagai tempat berehat sahaja.

Elakkan dari melakukan perkara lain seperti bermain atau melakukan kerja sekolah di atas katil.

Didik anak untuk menghormati tempat beristirahat dan wujudkan tabiat yang baik ini untuk memberikan manfaat jangka masa panjang.

Apabila anak faham hal ini, ia menjadikan dia lebih mudah terlelap apabila berada di katil.

Wujudkan persekitaran yang menyenangkan untuk tidur

Cadar lembut, warna gelap bilik dan senyap boleh membantu anak membezakan antara siang dan malam sekali gus membuatkan mereka lebih mudah untuk tidur.

Bukan itu saja, pastikan suhu bilik tidak terlalu panas atau sejuk bagi membolehkan anak tidur dengan selesa.

Mewujudkan persekitaran yang merangsang tidur adalah penting kerana ia menetapkan peringkat untuk tidur dengan mengurangkan gangguan. Apabila anak tenang, mereka boleh tidur sendiri dan cepat.

Peka terhadap gangguan tidur

Walaupun sudah melakukan pelbagai cara untuk memastikan anak mendapat tidur yang secukupnya, namun ada kalanya semua itu tidak berhasil.

Hal ini berlaku mungkin disebabkan beberapa faktor daripada anak sendiri.

Jika anak anda menghadapi masalah untuk tidur, mengalami mimpi buruk yang berterusan, berdengkur atau bernafas melalui mulut, mereka mungkin mengalami gangguan tidur.

Oleh itu, sentiasalah berbincang dengan pakar kanak-kanak jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai tabiat tidur anak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 6:45 AM