MAKLUMAT berkenaan boleh diklasifikasikan sebagai maklumat sensitif kerana ia berkaitan dengan perbankan dan mungkin tugasan pejabat.
MAKLUMAT berkenaan boleh diklasifikasikan sebagai maklumat sensitif kerana ia berkaitan dengan perbankan dan mungkin tugasan pejabat.
Muhammad Saufi Hassan


Pengguna sering berpandangan maklumat seperti nama, alamat dan nombor telefon bersifat maklumat biasa dan bukannya sensitif.

Tanggapan mereka itu ternyata salah kerana kombinasi maklumat berkenaan boleh dikaitkan dengan akaun media sosial, perbankan malah mungkin urusan di pejabat.

Data peribadi seperti alamat, nombor telefon, emel dan bermacam lagi maklumat sensitif ada dijual di laman dagang 'dark web' dan ia tidak tertumpu kepada maklumat bersifat umum saja.

Platform laman dagang dark web berkenaan terkumpul bermacam-macam maklumat sensitif termasuk penjualan kad kredit serta pelbagai barangan terlarang lain antaranya adalah dadah.

Sebut saja dark web, ia sudah mempunyai konotasi yang negatif iaitu bersifat gelap, kerahsiaan dan penjualan barangan terlarang.

KOMBINASI maklumat berkenaan boleh digunakan untuk melakukan jenayah terancang.
KOMBINASI maklumat berkenaan boleh digunakan untuk melakukan jenayah terancang.

Itulah hakikat sebenar dark web iaitu sisi lapisan Internet yang lebih dalam.

Ia umpama melihat bongkah ais di lautan, sisi atas air dikenali sebagai laman web enjin carian yang diketahui seperti Google, Yahoo, Bing dan sebagainya manakala bongkah yang lebih besar di bahagian dalam mempunyai pelbagai sisi gelap Internet.

Platform itu juga menjual barangan terlarang yang turut dijual di platform laman dagang pasaran gelap aantaranya dadah, senjata api dan pelbagai data peribadi yang dilelong secara pukal.

Laman dagang pasaran gelap Internet ini juga turut menjual rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sesebuah kawasan, tempat atau kediaman dan ia adalah hasil penggodaman pihak tidak bertanggungjawab.

Secara teknikalnya, ia agak sukar untuk dibendung kerana kewujudan platform berkenaan adalah mengutamakan kerahsiaan, sulit dan sisi gelap dunia siber.

Agensi teknikal keselamatan siber negara iaitu CyberSecurity Malaysia (CSM) turut mengakui kewujudan laman dagang berkenaan, namun usaha untuk membanterasnya agak sukar memandangkan platform sulit itu dicipta untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

PENGGUNA perlu peka dengan semua maklumat peribadi termasuk nama, emel dan nombor telefon.
PENGGUNA perlu peka dengan semua maklumat peribadi termasuk nama, emel dan nombor telefon.

Penjualan data sensitif membabitkan pengguna di laman dark web secara pukal adalah manifestasi ketirisan data yang serius berlaku ketika ini.

Pakar keselamatan siber berpandangan bahawa keadaan itu mampu menggugat keselamatan negara khususnya jika ia membabitkan jumlah ketirisan yang besar.

Tindakan perundangan atau penguatkuasaan sukar untuk dilaksanakan memandangkan penjualan itu menggunakan transaksi mata wang kripto.

Insiden itu bukan lagi isu ketirisan data atau data pengguna yang bocor, sebaliknya sudah menjadi isu keselamatan terutama jika ia membabitkan maklumat sensitif seperti nombor kad pengenalan, nombor passport, alamat rumah dan sebagainya.

Berdasarkan pemerhatian sebelum ini, data pengguna yang dijual secara pukal di laman dark web berkenaan bukan saja membabitkan nama dan alamat, sebaliknya merangkumi nombor kad pengenalan serta beberapa maklumat sensitif lain.

Melihat daripada satu aspek, data itu boleh digunakan oleh pihak ketiga untuk tujuan penyamaran, pengintipan dan sebab itu, ia membabitkan keselamatan negara.

PENJUALAN data seumpama itu banyak dilakukan di platform Dark Web.
PENJUALAN data seumpama itu banyak dilakukan di platform Dark Web.

Dark web sememangnya menjual barangan terlarang dan mereka menggunakan transaksi menggunakan mata wang yang bersifat 'kerahsiaan' seperti Monero (XMR) dan Litecoin (LTC).

Pengguna hanya perlu memasuki laman sesawang menerusi pautan tertentu serta enjin carian khas dan melakukan transaksi menggunakan mata wang kripto.

Semua data sensitif pengguna yang diperoleh akan dijual menerusi dark web dengan harga yang murah serta secara pukal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 7:00 AM