Syafil Syazwan Jefri


MENCIPTA nama hampir tiga dekad, nama band Spider tidak pernah menghilang dan padam dalam arena muzik tanah air.

Api semangat mereka terus-menerus marak sehingga berjaya menarik minat peminat pelbagai lapisan usia dan generasi.

Menjadi band yang dinanti-nantikan untuk tampil di pentas konsert berskala besar, Spider mengotakan janji mereka dan mengubati kerinduan peminat dengan menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur dengan acara Konsert Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024 (Spider Keluar Sarang), baru-baru ini.

Mengembalikan memori peminat menerusi rendisi lagu-lagu popular mereka seperti Laukku Cukup Masin, Mungkinkah Terjadi, Telinga ke Tulang dan banyak lagi, setiap lagu yang dipersembahkan turut dinyanyikan bersama 2,400 peminat yang hadir.

Penyanyinya, Tam, 51, berkata, ini adalah konsert berskala besar pertama diadakan dan tentunya ada rasa teruja terutamanya dengan sambutan yang di luar jangkaan dan hebat itu.

"Ini adalah 'pemandangan' terindah yang pernah saya lihat. Ia umpama satu mimpi yang menjadi kenyataan. Saya percaya, setiap perkara berlaku pada masa yang tepat dan inilah yang saya maksudkan," katanya.

Tidak mustahil sekiranya Spider mengadakan konsert di lokasi yang lebih besar, ia tetap akan mendapat sokongan peminat mereka.

"Sekiranya ada sokongan dan galakan daripada peminat, kami akan cuba merancang ke arah ini. Malam ini saya dapat melihat ada ramai juga peminat dalam kalangan generasi baru. Jadi, kalau sokongannya padu, kalau ada rezeki, Insya-Allah.

"Di konsert ini juga, kami tampilkan kumpulan 'blowers' u

ntuk memainkan alat muzik mereka. Ini sebenarnya boleh digambarkan sebagai persembahan yang spesifikasinya lengkap kerana ia berskala besar," katanya.

SPIDER tarik 2,400 peminat di Zepp KL sebaik mereka 'keluar sarang.'
SPIDER tarik 2,400 peminat di Zepp KL sebaik mereka 'keluar sarang.'

Ditanya mengenai formula dalam meraih populariti sehingga ke hari ini, Tam berkata, kekuatan mereka adalah karya muzik mereka.

"Kami rasa, lagu-lagu kami berjaya 'melekat' di hati peminat. Sejujurnya, kami sendiri juga jarang berada di media sosial secara individu. Jadi, karya kamilah yang berjaya menarik minat peminat," katanya.

Di usia senior, Tam nampaknya masih lagi memiliki tenaga luar biasa setanding dengan penyanyi-penyanyi muda tanah air.

"Mungkin faktor utamanya adalah, tenaga daripada penonton juga. Jadi, apabila mereka bertenaga, secara tak langsung, ia juga turut dikongsikan dengan kami yang berada di atas pentas.

"Bila saya melihat semangat peminat kami, saya teruskan membuat persembahan dan berikan persembahan bertenaga," katanya.

Namun, pengikut setia Spider tentunya sedia maklum akan ketiadaan anggota asal seperti Allahyarham Tony (bass) dan Nafie (gitar).

Tempat mereka diisi Pown (gitar) dan Eiz (bass), manakala Aie kekal sebagai pemain dram.

Tam berkata, dia agak ralat juga kerana mereka tidak dapat bersama pada malam bersejarah itu.

"Tony dah meninggal dunia, manakala Nafie pula tak sihat dan tak cukup kuat untuk tampil membuat persembahan.

"Namun, demi peminat, kami akur dengah hakikat itu. Walaupun tanpa mereka, semangat mereka tetap ada bersama kami. Bagaimanapun, kami tidak ketepikan Nafie.

"Kalau dia kuat untuk buat persembahan, dia akan bersama kami. Cumanya, masalah kesihatannya menjadi kekangan buat dia. Kami pun dah berbincang elok-elok dan dia pun ada turunkan ilmu kepada pemain gitar baru yang menyertai kami," katanya.

Ditanya mengenai konsert 'tribute' untuk memperingati mereka yang pernah bersama Spider sejak awal kemunculan mereka, Tam tidak menolak ia akan berlaku sekiranya ada rezeki.

"Ramai yang bertanya, bila dan adakah kami akan adakan konsert 'tribute' dan sebagainya. Kami tak boleh mencampuradukkan semuanya dalam satu konsert kerana ini kali pertama.

"Jadi, andai kata kami ada rezeki untuk mengadakan konsert ulang tahun Spider, kami akan 'highlight' orang-orang yang pernah ada bersama kami," katanya.

Terbaru, Spider kini melancarkan single baharu berjudul Keluar Sarang dan akan keluarkan satu lagi single baru, yang bakal dimuatkan dalam album kompilasi.

"Kami ada single baru yang akan dimuatkan di dalam album kompilasi. Kami akan hadirkan dua lagu baharu terlebih dulu, kemudian, barulah keluarkan album penuh kerana ia akan mengambil masa.

"Saya mengenali ramai pengumpul (collectors), jadi kami rancang untuk keluarkan edisi piring hitam yang terhad untuk peminat-peminat kami.

"Mengenai 'remake' lagu lama kami, saya rasa, kalau nak 'remake', mungkin kami akan hasilkan album 'rockestra'

(gabungan rock dan orkestra) kerana rasanya itu lebih menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 6:00 AM