JASMIN meredah banjir untuk memindahkan barangan ke  lokasi lebih tinggi susulan paras air semakin meningkat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
JASMIN meredah banjir untuk memindahkan barangan ke lokasi lebih tinggi susulan paras air semakin meningkat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kawalan sempadan negara oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa dipergiatkan meskipun banjir dan berlaku limpahan Sungai Golok.

Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged), Brig Jen Datuk Aizuddin Hassan berkata, pihaknya mempunyai kaedah tersendiri dalam menangani aktiviti pencerobohan atau penyeludupan barang terlarang dan sentiasa peka dengan modus operandi penyeludup.

"Modus operandi mereka (penyeludup) sentiasa berubah dan kita juga perlu dinamik bergantung kepada perubahan taktik pencerobohan atau penyeludupan.

"Kawasan tanggungjawab tentera (KTJ) sepanjang Sungai Golok adalah sejauh 85 kilometer (km) bermula dari Rantau Panjang hingga ke Jeli dan kawalan tidak berubah, meskipun sungai melimpah.

"Kita tetap masih mampu membuat rondaan menggunakan segala aset yang dibekalkan, malah penugasan langsung tidak terjejas," katanya kepada media di sini, hari ini.

Aizuddin berkata, terdapat 11 pos kawalan di sepanjang KTJ dan tidak terjejas banjir, namun tindakan segera akan diambil termasuk memindahkan anggota jika situasi semakin buruk.

"Berdasarkan banjir sebelum ini, ada juga beberapa pos kawalan dilanda banjir namun tidaklah memudaratkan kerana ia dibina tinggi dan masih 'manageable'," katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perbarisan Pasukan Tindakan Awal dan Pasukan Perubatan Hadapan sempena Op Murni di padang kawad Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa, di sini.

Seramai 848 pegawai dan anggota terbabit Op Murni di Kelantan dan Terengganu dengan operasi bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pihak berkuasa tempatan bagi membantu mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 1:20 PM