Siti Rohana Idris

Tumpat: Faktor geografi, kemajuan teknologi dan permintaan sentiasa ada dilihat antara punca kegiatan penyeludupan masih berleluasa di kawasan sempadan negara.

Panglima 8 Briged, Brig Jen Zamsari Abu Hassan berkata, paras air Sungai Golok yang surut dan cetek ketika ini dilihat mendorong kepada penyeludup untuk melakukan jenayah rentas sempadan bukan hanya menggunakan bot, malah boleh meredah tanpa pengangkutan air.

Beliau berkata, walaupun modus operandi penyeludup sentiasa berubah, pihaknya bersama agensi penguatkuasaan lain sentiasa memperkasakan skop penugasan sepanjang Op Benteng yang dikuatkuasakan sejak tahun lalu.

"Modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan ia membabitkan beberapa perkara antaranya bentuk muka bumi yang menjadi cabaran kepada kami.

"Selain jarak sempadan yang dekat, keadaan sungai surut sekarang menyebabkan barangan seludup mudah dibawa masuk atau keluar.

"Selain itu, permintaan sentiasa ada terutama barangan kontraban menyebabkan aktiviti penyeludupan masih berlaku," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Zamsari berkata, faktor seterusnya membabitkan teknologi misalnya dron mungkin akan digunakan untuk melakukan jenayah rentas sempadan memandangkan penguatkuasaan tegas dibuat semua agensi penguatkuasaan.

Menurutnya, biarpun penggunaan teknologi itu belum lagi dikesan setakat ini, pihaknya sentiasa bersedia menghadapi sebarang taktik terbaharu penyeludup.

ZAMSARI (dua dari kanan) memantau anggotanya memulakan kerja pembinaan rumah seorang penduduk penerima rumah, Izwan Senik, 43 di bawah Projek Jiwa Murni di Kampung Alor Durian. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ZAMSARI (dua dari kanan) memantau anggotanya memulakan kerja pembinaan rumah seorang penduduk penerima rumah, Izwan Senik, 43 di bawah Projek Jiwa Murni di Kampung Alor Durian. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Kawasan tanggungjawab kami bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Jeli iaitu sejauh 85 kilometer dan sepanjang laluan itu, lebih 100 laluan tikus dikenal pasti.

"Kami sentiasa mengadakan rondaan agresif termasuk adanya pos pemerhati dan pos pendengaran bagi mengelakkan sempadan negara dibolosi dengan mudah, sekali gus kedaulatan negara dapat dijaga," katanya.

Terdahulu, beliau hadir melihat kerja pembinaan sebuah rumah penduduk Kampung Alor Durian, di sini, Izwan Senik, 43, menerusi Projek Jiwa Murni.

Program berkenaan disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Izwan yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori mental menerima bantuan rumah menerusi kelulusan Menteri Besar sebanyak RM15,000 dan kerja pembinaan dilakukan anggota daripada 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bermula hari ini.

Zamsari berkata, kerja pembinaan itu memakan masa selama dua minggu dan untuk tahun ini, lima rumah di Kelantan dan satu di Terengganu akan dijalankan merangkumi kerja membina serta baik pulih.

Beliau berkata, penerima bantuan bagi Projek Jiwa Murni itu membabitkan warga emas, OKU dan yang terjejas banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 3:04 PM