Siti Rohana Idris


Rantau Panjang: Kegiatan jenayah rentas sempadan ketika musim banjir tetap aktif walaupun berdepan kesulitan untuk menyeberangi Sungai Golok berikutan arus deras serta paras air meningkat.

Walaupun menjadikan stor atau rumah di kawasan tinggi sebagai lokasi transit sebelum diseludup ke negara jiran, modus operandi disedari pihak berkuasa sekali gus berjaya mengekang aktiviti itu.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, sejak 16 Disember lalu sehingga hari ini, sebanyak RM3.7 juta membabitkan pelbagai barangan berjaya dirampas.

"Paling banyak yang dirampas adalah barangan kontraban serta haiwan ternakan sama ada diseludup masuk atau keluar.

"Mereka (penyeludup) mencari ruang dan peluang ketika banjir dengan menyangkakan pihak berkuasa alpa atau ada kekangan dengan memindahkan barangan seludup sebelum diedarkan ke destinasi lain," katanya ketika ditemui di Kampung Tersang, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama wakil syarikat perladangan dan pembinaan, Al Tamim World Sdn Bhd mengagihkan bantuan makanan dan kelengkapan elektrik kepada 50 keluarga di kampung itu.

Azhari berkata, ketika banjir baru-baru ini, sebanyak 10 pos PGA terjejas dengan empat daripadanya ditenggelami air iaitu Pos Ibrahim Pencen, Pos Sharifah, Pos Terusan dan Pos Pak Teh Kana.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kira-kira 30 pegawai dan anggotanya terpaksa berlindung di Sub Taktikal Rantau Panjang dan Jeram Perdah sebelum paras air kembali surut.

"Walaupun terpaksa meninggalkan pos kawalan, penugasan anggota kami tetap diteruskan menerusi rondaan sama ada menggunakan pacuan empat roda atau kenderaan berat.

"Penugasan selama 24 jam itu dibuat bagi menjaga sempadan negara tidak dibolosi dengan aktiviti jenayah rentas sempadan yang sentiasa berlaku tanpa mengira masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 2:52 PM
DATUK Ku Ardanan Dollah diiringi oleh  Superintendan Azhari Nusi meninjau sebahagian kawasan rumah penduduk kampung yang masih digenangi air banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Ku Ardanan Dollah diiringi oleh Superintendan Azhari Nusi meninjau sebahagian kawasan rumah penduduk kampung yang masih digenangi air banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar