Siti Rohana Idris


TIADA rampasan mercun mahupun aktiviti penyeludupan haiwan ternakan dibuat di daerah Tumpat menjelang sambutan Aidilfitri pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Pegawai Operasi Risik 1, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin berkata, pihaknya tidak membuat rampasan mercun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dikuat kuasakan.

"Bukan sahaja mercun, tapi juga penyeludupan haiwan ternakan juga langsung tiada di sepanjang kawasan penugasan kami di Sungai Golok iaitu bermula di Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga Kubang Pak Itam, Pasir Mas.

"Jika ada rampasan sekalipun hanya membabitkan barang kontraban dalam kuantiti kecil dan kira-kira 95 peratus aktiviti masyarakat di pinggir Sungai Golok yang membabitkan lintas sempadan berkurangan.

"Perubahan positif ini adalah hasil penugasan pelbagai agensi penguat kuasaan di negara ini, malah pasukan keselamatan Thailand juga menjalankan penugasan yang ketat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan rondaan di perairan Sungai Golok sekitar Pengkalan Kubor, Tumpat, hari ini.

KEADAAN yang agak sunyi di sepanjang pinggir Sungai Golok yang memisahkan Pengkalan Kubor, Tumpat dengan beberapa kampung di selatan Thai membuktikan tiada aktiviti lintas sempadan dan penyeludupan berlaku. FOTO SITI ROHANA IDRIS
KEADAAN yang agak sunyi di sepanjang pinggir Sungai Golok yang memisahkan Pengkalan Kubor, Tumpat dengan beberapa kampung di selatan Thai membuktikan tiada aktiviti lintas sempadan dan penyeludupan berlaku. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Turut hadir, Pegawai Operasi Risik II, PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Inspektor Muhamad Zul Khairi Idris.

Reduan berkata, antara barang yang dirampas dalam tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah petrol yang kebanyakan penyeludup beroperasi pada waktu malam.

Katanya, pergerakan penyeludup agak terhad sama ada melalui jalan darat atau sungai kerana stesen minyak ditutup lebih awal dalam tempoh PKPB.

"Dari segi modus operandi juga berbeza apabila penyeludup menggunakan bot galah tanpa menghidupkan enjin sebaliknya mendayung merentasi Sungai Golok yang hanya kira-kira 20 hingga 300 meter sepanjang PKP dan PKPB ini.

"Mereka berbuat demikian supaya pihak berkuasa tidak menyedari aktiviti penyeludupan berlaku, namun pihak kami sentiasa menjalankan rondaan dalam tempoh 24 jam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 6:36 PM