Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Limpahan air Sungai Golok pada musim tengkujuh tidak menghalang kumpulan penyeludup menjalankan kegiatan mereka untuk menyeludup barangan melalui sungai berkenaan.

Malah, keadaan berkenaan memudahkan mereka menyeberangi sungai dengan hanya menarik tali atau mendayung sampan ketika menyedari ketiadaan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya menghidu taktik terbabit sekali gus menghalang beberapa kes penyeludupan walaupun ketika musim bah melanda

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam tempoh empat hari, pihaknya menumpaskan 17 kes membabitkan nilai rampasan RM889,000 termasuk ketika banjir.

"Penyeludup didapati mengubah modus operandi dengan menetapkan lokasi transit sebelum barangan dibawa terus menggunakan bot atau sampan. Apabila air mula melimpah, mereka tidak perlu membawa barangan melalui pangkalan haram sebaliknya di tepian jalan yang mula digenangi air.

"Oleh itu, anggota PGA7 perlu lebih ligat dengan membuat rondaan di kawasan banjir menggunakan kenderaan bersesuaian termasuk bot untuk memantau sepanjang sungai secara berkala selama 24 jam.

AZHARI Nusi bersama anggotanya membuat tinjauan air sungai golok di atas Jambatan Muhibah untuk ke negara Thailang di Rantau Panjang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
AZHARI Nusi bersama anggotanya membuat tinjauan air sungai golok di atas Jambatan Muhibah untuk ke negara Thailang di Rantau Panjang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Kami bertugas tidak kira waktu, siang atau malam tetap menjalankan tanggungjawab, begitu juga dalam keadaan banjir ini," katanya selepas melawat beberapa pos PGA7, di sini, yang turut tenggelam akibat banjir.

Azhari berkata, empat daripada 17 pos kawalan ditenggelami air separas 1.8 meter sehingga 2.5 meter membabitkan Pos Ibrahim Pencen, Pos Pok Teh Kana, Pos Terusan dan Pos Kaloi.

"Seramai 31 anggota dan pegawai diarahkan untuk berpindah ke tempat selamat bagi memudahkan penugasan selain menjaga keselamatan anggota daripada berlaku insiden tidak diingini.

"Walaupun berdepan cabaran bencana banjir, 400 pegawai dan anggota PGA7 tetap komited menjalankan tugas menjaga sempadan Malaysia-Thailand daripada berlaku jenayah rentas sempadan.

"Setiap anggota sudah dimaklumkan bakal bertugas dalam suasana banjir agar mereka dapat bersedia daripada segi fizikal dan mental," katanya yang memaklumkan PGA7 mengambil alih tugas Ops Benteng COVID-19 bermula 16 Disember lalu sehingga 16 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 3:49 PM