LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Kemalangan maut membabitkan 10 kenderaan di Kilometer (KM) 457.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), di sini semalam dipercayai berpunca dari sebuah kereta jenis Nissan Almera yang terbabas selepas hilang kawalan sejurus tiba di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kemalangan dipercayai berlaku jam 9.50 malam membabitkan dua treler dan lapan kenderaan lain.

Menurutnya, kereta Nissan Almera dipandu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dilanggar beberapa kenderaan lain yang gagal mengelak.

"Pada masa sama sebuah treler jenis Mercedes Benz yang cuba mengelak kemalangan menyebabkan ia dirempuh dari arah belakang oleh sebuah treler jenis Volvo.

"Pemandu treler Volvo yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang pemandu treler maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di KM457 Lebuhraya Plus berhampiran Restoran Jejantas Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, malam tadi.

M Hussin Sollehuddin berkata, kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa dibawa ke bahagian forensik hospital sama.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi kejadian dimohon tampil ke balai berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Najib Mohd Azaman di talian 01293526147," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 1:45 PM