LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis mencari pemandu kereta Nissan Almera yang disyaki melanggar lari penunggang motosikal sebelum dikejar penunggang lain di sepanjang Jalan Gombak, di sini, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Zulkafli Che Lah berkata, setakat ini pemandu terbabit belum tampil membuat laporan.

"Mangsa terbabit kemalangan dengan suspek sudah membuat laporan polis.

"Kita (polis) sedang giat mengesan pemandu itu yang dipercayai sudah melarikan diri," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, media melaporkan, pemandu kereta jenis Nissan Almera dikejar sepanjang Jalan Gombak dari arah Taman Sri Gombak menghala ke Sentul Point, di sini, apabila cabut lari selepas langgar motosikal.

Kejadian itu tular selepas satu video berdurasi dua minit 19 saat dimuat naik di satu halaman media sosial X yang memaparkan pemandu terbabit memandu secara melulu sebelum berhenti di tengah jalan.

Menurut ciapan pemilik akaun, sebelum kejadian sekumpulan remaja bertindak melarikan diri menaiki kereta terbabit selepas dikatakan tidak membayar pesanan cendol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 3:13 PM