KEMALANGAN disebabkan treler yang mengundur akibat kerosakan mekanikal sebelum melanggar tujuh kenderaan lain di Kilometer (KM) 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Gombak.
KEMALANGAN disebabkan treler yang mengundur akibat kerosakan mekanikal sebelum melanggar tujuh kenderaan lain di Kilometer (KM) 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Gombak.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Gombak: Treler mengundur kerana kerosakan mekanikal, melanggar tujuh kenderaan lain di Kilometer (KM) 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira 11 pagi.

"Siasatan awal dilakukan mendapati kemalangan berlaku ketika treler jenis Volvo membawa batang besi dari arah Kuala Lumpur menghala ke Rawang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian yang juga laluan mendaki, treler berkenaan mengundur akibat kerosakan mekanikal sebelum melanggar tujuh kenderaan yang berada di belakangnya di kedua-dua lorong.

"Tujuh kenderaan yang dilanggar adalah sebuah lori jenis Isuzu, sebuah van jenis Nissan Vannette, sebuah motosikal Honda EX5 dan empat kereta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Ariffin berkata, kemalangan menyebabkan pemandu treler patah tangan, manakala mangsa lain hanya cedera ringan.

Katanya, insiden itu juga menyebabkan treler melintang di tengah jalan dan mengakibatkan kesesakan luar biasa.

"Semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu berjaya dialihkan dan laluan terbabit boleh dilalui pengguna pada 12.45 tengah hari," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau 03-61262222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 8:50 PM