GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Rompin: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 137 Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat sini semalam.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, pemandu dan penumpang kereta jenis Nissan Almera Mohd Rahmat Ab Rahim, 34, dan Muhammad Amirul Mukmini Mat Daud, 31, yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala maut di lokasi kejadian.

Beliau berkata kejadian dipercayai berpunca apabila kenderaan dinaiki mangsa yang dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Johor Bahru, Johor sedang berhenti untuk masuk ke simpang di sebelah kanan jalan, sebelum dirempuh sebuah lori jenis Nissan dari arah belakang.

"Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan telah terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah lori pembancuh simen dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuantan mengakibatkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yahaya berkata kedua-dua pemandu lori itu hanya mengalami luka pada bahagian kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 9:59 AM