AFFANDI turun padang bertemu para pengundi di Mak Chili DUN Air Putih sempena kempen PRK P.040. FOTO Rohanis Shukri
AFFANDI turun padang bertemu para pengundi di Mak Chili DUN Air Putih sempena kempen PRK P.040. FOTO Rohanis Shukri
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang memasuki hari kelapan hari ini dikejutkan dengan kewujudan akaun media sosial palsu calon Barisan Nasional (BN).

Perkara itu dimaklumkan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di akaun media sosialnya hari ini mengenai akaun palsu yang menggunakan nama Raja Affandi sedangkan akaun rasminya menggunakan nama Raja Mohamed Affandi.

Selain menyifatkan tindakan itu berkemungkinan adalah tindak balas yang dilakukan oleh musuhnya, Raja Mohamed Affandi turut melampirkan pautan kepada akaun media sosial rasminya bagi mengelak kekeliruan.

"Pagi ini, saya dikejutkan dengan akaun FB (Facebook) menggunakan nama dan gambar saya. Dalam peperangan pelbagai sudut, macam-macam cara musuh untuk menyerang.

"Dengan ini, saya menafikan akaun ini adalah rasmi daripada saya. Sila ke Page Raja Mohamed Affandi untuk mengetahui perkembangan saya sepanjang tempoh berkempen ini," katanya.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS.

BN mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 2:15 PM