Calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyantuni jentera BN yang membantunya berkempen sepanjang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman.  FOTO IHSAN FACEBOOK RAJA MOHAMED AFFANDI RMA
Calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyantuni jentera BN yang membantunya berkempen sepanjang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman. FOTO IHSAN FACEBOOK RAJA MOHAMED AFFANDI RMA
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Beberapa jam sebelum tamat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sekali lagi merayu pengundi memberi peluang kepadanya.

Pesanan itu dititipkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia menerusi video berdurasi 47 saat yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, 'Raja Mohamed Affani RMA'.

Menerusi rakaman itu, Raja Mohamed Affandi bukan sahaja mengalu-alukan kepulangan perantau untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tetapi menyeru pengundi di Parlimen Kemaman membuat keputusan yang tepat esok.

"Saya Raja Mohamed Affandi, calon nombor 1 ingin mengalu-alukan kepulangan mereka yang berada di perantauan dan kembali menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Parlimen P40 Kemaman.

"Apa pun saya ingin menyeru dan juga merayu kepada mereka yang pulang ini membuat keputusan yang wajar yang terbaik bukan untuk diri mereka bahkan untuk keluarga dan untuk masa depan mereka.

"Pakej yang ada dibawah Kerajaan Perpaduan sekarang cukuplah baik dan saya menyeru memberikan atau mengundi Barisan Nasional (dengan) mengundi saya calon nombor 1. Kita cakna Kemaman untuk Kemaman," katanya

Raja Mohamed Affandi turut melahirkan rasa terima kasih kepada semua jentera yang membantunya berkempen sepanjang PRK Parlimen Kemaman.

"Mereka inilah diantara jentera yang sentiasa bekerja kuat membantu saya sepanjang tempoh berkempen.

"Di saat-saat akhir ini saya pasti akan terus bekerja keras membantu dan bertemu rakyat Kemaman, menerangakan pelbagai maklumat yang mungkin tidak sampai kepada pengundi-pengundi di Kemaman," katanya.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satuantara BN dan PAS.

BN mempertaruhkan Raja Mohamed Affandimanakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS sebelum ini.

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing termasuk 387 anggota polis dan sembilan anggota tentera.

From: Zatul

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 4:27 PM