Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: "Rakan arwah dapat mimpi seolah olah adik akan meninggal dunia beberapa hari lalu," kata Nor Aimanul Hakim Nor Azmi, 23

Nor Aimanul Hakim ialah abang kepada Nor Aminul Fitri Nor Azmi, 21, yang maut bersama tiga sahabat karibnya, selepas Proton Wira yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Renggam Simpang Renggam di sini tengah malam kelmarin

Nor Aimanul Hakim berkata, perkara itu diberitahu kepada emak mereka awal pagi semalam, sebelum adiknya keluar bekerja di sebuah bengkel kereta di sini

"Sebelum pergi kerja kira kira 8 pagi semalam, adik ada beritahu pada emak pasal mimpi seram itu.

"Kawannya beritahu 'Min kau jangan mati dahulu' tetapi ibu menenangkan adik saya dan kata jangan risau tiada apa apa," katanya yang ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK)

Katanya, kira kira 3 pagi malam semalam, adiknya itu turut mengadu padanya dia berasa takut

"Malam semalam lain sikit dan saya tanya asal tak tidur lagi, dia kata takut, sebab kawan dia ada beritahu yang kawan dia ada mimpi seram.

"Tapi dia tak beritahu mimpi seram yang macam mana cuma kami sama sama berjaga hingga ke pagi

"Sampai lah adik saya tertidur kira kira 5 pagi sebelum Subuh dan dia pesan sebelum tidur supaya saya mengejutkan dia untuk pergi kerja," katanya.

Katanya, menyifatkan adiknya itu seorang anak yang bertanggungjawab terhadap keluarga apabila sentiasa mendahulukan perbelanjaan dapur dan duit belanja untuk emak mereka setiap kali mendapat gaji bulanan.

Dalam pada itu, dia berkata, adiknya dan tiga yang lain itu memang akrab sejak sekolah rendah hingga ke habis sekolah menengah dan sentiasa menghabiskan masa bersama sama

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Berumbong Simpang Renggam bersama dua yang lain, manakala seorang lagi dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama, Simpang Renggam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Nor Aminul Fitri, 21, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom Kluang (HEBHK), 2.45 pagi semalam.

"Mangsa yang duduk di kerusi belakang bekerja sebagai mekanik kereta pada mula nya parah kerana cedera di bahagian kepala dan badan, sebelum dikejarkan ke HEBHK.

"Hasil siasatan awal mendapati Proton Wira dari arah Simpang Renggam menghala ke Renggam.

"Sampai di tempat kejadian, Proton Wira hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan lalu melanggar sebatang tiang elektrik pada masa kejadian," katanya ketika dihubungi

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, media melaporkan tiga maut, seorang parah selepas Proton Wira dinaiki empat sahabat terbabas melanggar tiang elektrik di Jalan Renggam, Simpang Renggam di sini tengah malam tadi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 5:09 PM
Ahli keluarga menunggu jenazah tiga sahabat karib yang maut kemalangan di HEBHK.  (Gambar kecil) Nor Aimanul Hakim iaitu abang kepada Nor Aminul Fitri Nor Azmi FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Ahli keluarga menunggu jenazah tiga sahabat karib yang maut kemalangan di HEBHK. (Gambar kecil) Nor Aimanul Hakim iaitu abang kepada Nor Aminul Fitri Nor Azmi FOTO Mohamad Fahd Rahmat