Barisan pelakon drama Jangan Tinggal Abang, Dek!
Barisan pelakon drama Jangan Tinggal Abang, Dek!
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Penyanyi Adira Suhaimi berkongsi keterujaan melebarkan sayap dalam bidang lakonan bagi menjayakan naskhah Erma Fatima berjudul Jangan Tinggal Abang, Dek!

Adira berkata, dia mencabar diri keluar dari zon selesa untuk terbabit dalam bidang lakonan menerusi drama bersiri 10 episod itu.

"Saya ambil masa dua minggu juga untuk membuat keputusan apabila ditawarkan oleh Kak Erma. Bukan apa, jika menyanyi saya sudah biasa cuma hendak berlakon tu.

"Jika berlakon di Instagram atau Tik Tok hanya beberapa minit bolehlah, namun hendak menjayakan naskhah disamping pelakon-pelakon hebat, memang kecut juga perut saya.

"Cuma syukur kerana barisan pelakon hebat lain banyak membantu. Apatah lagi, saya juga pelat dengan loghat Sabah, jadi hendak menghafal skrip dan sebagainya ambil masa juga.

"Itu antara cabaran terbesar saya untuk menjayakan drama ini. Cuma saya berani untuk mencabar diri kerana ia berbentuk komedi, jadi santai-santai saja menurut Kak Erma," kata Adira kepada Harian Metro.

Selain Adira, drama Jangan Tinggal Abang, Dek! menampilkan Datuk Adi Putra dan Nabila Huda.

"Saya memegang watak sebagai isteri kepada Adi Putra namun saiz tubuh dan wajah kurang menarik sehingga membuatkan dia berminat dengan wanita lain.

"Berdebar juga menantikan maklum balas daripada penonton, namun saya sudah bersedia untuk menerima sebarang komen atau kritikan," tambah Adira.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 4:05 PM