KEMUSNAHAN di Gaza ketika perang di wilayah itu memasuki bulan ke-10. FOTO Reuters
KEMUSNAHAN di Gaza ketika perang di wilayah itu memasuki bulan ke-10. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Penduduk Palestin melarikan diri dari timur Bandar Gaza pada Khamis yang di bawah pengeboman yang diperhebatkan ketika tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan ke kawasan sebelum ini diisytiharkan bebas daripada pejuang Hamas.

Serangan di daerah Shujaiya di utara Gaza dikatakan oleh saksi dan pegawai perubatan menyebabkan ramai terkorban, berlaku ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai ketegangan serantau yang lebih luas membabitkan Israel dan Hizbullah Lubnan, pejuang sekutu Hamas.

Di Gaza, pertempuran masih berlanjutan walaupun Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Ahad menyatakan bahawa "fasa sengit" perang yang kini menghampiri bulan ke-10 sudah semakin reda.

Pegawai dan petugas perubatan di wilayah kendalian Hamas berkata, serangan Israel semalaman dan awal Khamis, membunuh sekurang-kurangnya enam orang di utara Gaza.

Di Bandar Gaza, seorang saksi di Shujaiya yang enggan namanya disiarkan memberitahu AFP keadaan itu "menakutkan" apabila kenderaan tentera Israel menghampiri ketika berlakunya serangan udara dan bedilan.

"Penduduk berlari di jalanan dalam ketakutan... ada cedera dan syahid terbaring di jalanan."

Jurucakap bahasa Arab tentera rejim, Avichay Adraee, memberitahu masyarakat dan penduduk Gaza yang dipindahkan di kawasan Shujaiya supaya meninggalkan tempat itu: "untuk keselamatan anda", dalam satu mesej yang disiarkan di media sosial.

Penduduk berkenaan diminta menuju ke selatan, ke "zon kemanusiaan" yang diisytiharkan kira-kira 25 kilometer jauhnya.

Seorang jurugambar AFP melihat ramai berjalan keluar dari kawasan berkenaan membawa barang-barang mereka, melalui laluan yang dipenuhi runtuhan.

Hamas dalam satu kenyataan berkata, tentera Israel memulakan lagi pencerobohan darat, ada yang maut dan ribuan melarikan diri di bawah pengeboman tanpa henti oleh pihak rejim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 4:22 PM