Aizat Sharif


Kangar: Cubaan menyeludup dadah bernilai lebih RM200,000 ke negara ini gagal apabila berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis yang menemui 84.67 kilogram (kg) ganja ditinggalkan di tepi pantai di Simpang Empat, di sini Isnin lalu.

Kejadian berlaku sekitar jam 7.30 pagi apabila sepasukan anggota Kastam dari Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan dadah yang berlaku di pesisir pantai Kampung Pulau, Simpang Empat.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, anggotanya ternampak sebuah sampan enjin sangkut bergalah dengan dua orang lelaki di dalam sampan itu baru selesai meletakkan dua bungkusan berwarna merah jambu di atas kawasan itu.

"Pemeriksaan anggota kita kemudian menjumpai dua bungkusan berwarna merah jambu yang disyaki mengandungi ketulan mampat dadah jenis ganja.

"Anggota kastam berkenaan menunggu dan memeriksa sekitar kawasan itu untuk melihat kelibat orang yang akan mengambil atau menuntut bungkusan berkenaan namun tiada sesiapa yang datang.

"Kita nampak sebuah lagi bot yang dipercayai 'tonto' mengawasi kawasan itu dari jauh sambil memerhatikan gerak geri anggota kita yang berada di kawasan itu," katanya hari ini.

ISMAIL Hashim (tengah) menunjukkan sejumlah wang tunai RM65,160 yang dirampas. FOTO Aizat Sharif
ISMAIL Hashim (tengah) menunjukkan sejumlah wang tunai RM65,160 yang dirampas. FOTO Aizat Sharif

Katanya, pemeriksaan selanjutnya pada bungkusan itu membongkar 80 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 84.67 kg dengan nilai RM262,477 yang mampu diedarkan kepada lebih 420,000 penagih dadah di negara ini.

"Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan membawa bekalan ganja berkenaan dari negara jiran melalui jalan laut dan mereka kemudian akan meletakkannya di pesisir pantai sebelum diambil pihak ketiga bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

"Kita percaya ganja ini akan cuba dipasarkan di negeri selain Perlis dan menjadikan negeri ini sebagai transit untuk pengedaran ganja berkenaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 4:13 PM