GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Aizat Sharif


Kangar: Selepas Kelantan, pengusaha stesen minyak di Perlis pula menjadi negeri kedua yang diarahkan supaya tidak menjual diesel dan petrol secara berulang pada hari yang sama kepada kenderaan tempatan dan asing berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata, arahan berkenaan terpakai kepada kesemua 39 stesen minyak dan pemegang lesen runcit bahan api diesel dan semua gred petrol di Perlis.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah menghadiri sesi perjumpaan bersama pengusaha stesen minyak di negeri ini dan menyerahkan surat arahan terbabit.

"Arahan Pengawal ini dikeluarkan berdasarkan peruntukan mengikut Peraturan 12A, Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974 berhubung larangan menjual diesel dan petrol RON95 secara berulang dalam hari yang sama kepada kenderaan berpendaftaran Malaysia dan asing yang berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Penyerahan Arahan Pengawal Bekalan Kepada Pemilik Stesen Minyak di Perlis di sini hari ini.

Azman berharap isu ketirisan minyak diesel dapat diatasi dan hasil pemantauan KPDN, penjualan diesel di stesen minyak berhampiran sempadan negara sudah mengalami penurunan.

"Malah, kita dapati pihak tertentu mula beralih kepada aktiviti menyeludup petrol RON95 pula. Disebabkan itu, kita masih lagi meneruskan Ops Tiris 3.0 bagi memastikan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi dapat dibendung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 4:44 PM