BANGUNAN PNB
BANGUNAN PNB
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) sebanyak 5.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding 5.00 sen seunit yang diumumkan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023.

"ASB 3 Didik mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM405.65 juta, bersamaan 5.25 sen seunit kepada 325,026 pemegang unit yang kini memiliki 7.73 bilion unit.

"Pengagihan pendapatan ASB 3 Didik itu juga mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 2.74 peratus sebanyak 251 mata asas," kata PNB dalam kenyataan, hari ini.

PNB berkata, sehingga 25 Jun 2024, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM437.76 juta.

Pendapatan dana ini diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

Selain itu katanya, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar, dengan ekuiti domestik menyumbang 11.8 peratus daripada jumlah pulangan dan ekuiti antarabangsa menyumbang sebanyak 3.6 peratus.

PNB berkata, kejayaan dana dalam menjana pendapatan dan mencapai prestasi teguh dipacu oleh prestasi pasaran ekuiti yang positif di pasaran utama, termasuk Malaysia, dan lonjakan global dalam Kecerdasan Buatan (AI) generatif.

"Melalui penilaian yang konsisten ke atas metrik prestasi dan pengawasan risiko yang proaktif, dana secara konsisten memberikan pulangan yang menarik dan kompetitif kepada pelaburnya.

"Pengiraan pengagihan pendapatan ASB 3 Didik adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana terbabit," katanya.

Katanya, pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2024.

Urus niaga ASB 3 Didik di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platfom digital dan perbankan internet ditangguhkan buat sementara waktu dari 28 hingga 30 Jun 2024 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh melakukan urus niaga semula di portal myASNB atau melalui aplikasi mudah alih myASNB dan di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 1 Julai 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 4:09 PM