Calon PAS Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tiba pada Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Parlimen Kemaman di Majlis Perbandaran Kemaman. FOTO GHAZALI KORI
Calon PAS Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tiba pada Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Parlimen Kemaman di Majlis Perbandaran Kemaman. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Chukai: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bermula hari ini dengan pusat penamaan calon di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman di sini dibuka jam 9 pagi nanti.

Semua calon mempunyai tempoh sejam hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus pusat penamaan calon sebelum diisytiharkan layak bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 28 November, manakala 2 Disember sebagai hari pengundian.

Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga detik 11.59 malam, 1 Disember.

8.50 pagi

Calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tiba di Pusat Penamaan Calon Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman jam 8.50 pagi

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu diiringi pencadang , Che Alias Hamid yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dan penyokong, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai.

Terdahulu, Ahmad Samsuri berarak sejauh hampir 500 meter bersama pimpinan PAS dan Bersatu serta penyokong ke pusat penamaan calon.

9 pagi

Pusat penamaan calon dibuka

9.09 pagi

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, ke pusat penamaan calon di Dewan Berlian, di sini, hari ini.

Turut mengiringi Raja Mohamed Affandi adalah Pengarah Pilihan Raya Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Said.

Kira-kira 1,500 penyokong BN berarak sejauh kira-kira 1.5 kilometer bermula daripada pejabat UMNO Kemaman di Pusat Penamaan Calon.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tiba pada Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.040 Parlimen Kemaman di Majlis Perbandaran Kemaman. FOTO GHAZALI KORI
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tiba pada Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.040 Parlimen Kemaman di Majlis Perbandaran Kemaman. FOTO GHAZALI KORI

9.10 pagi

Calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selesai menyerahkan borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman

Beliau diiringi pencadang , Che Alias Hamid yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dan penyokong, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai.

9.15 pagi

Calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pula selesai menyerahkan borang jam 9.15 pagi.

Beliau yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia diiringi Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai pencadang dan bekas Ahli Parlimen Kemaman , Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai penyokong.

10 pagi

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab mengumumkan penutupan borang pencalonan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 9:46 AM