DR Azlan pada sidang media hari ini. FOTO Rohanis Shukri
DR Azlan pada sidang media hari ini. FOTO Rohanis Shukri
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Institut Jantung Negara (IJN) hari ini melakar sejarah apabila menjadi institut pertama di Asia Tenggara berjaya memasang implan ekstravaskular (EV-ICD) kepada pesakit jantung wanita berusia 33 tahun.

Prosedur yang dilaksanakan oleh Pengarah Klinikal Elektrofisiologi dan Peranti Implan Datuk Dr Azlan Hussin itu memberi harapan kepada pesakit jantung yang mempunyai risiko tinggi mengalami kematian mengejut akibat 'irama' jantung terlalu laju dan berbahaya.

Katanya, peranti EV-ICD yang dibangunkan oleh Medtronic itu akan memberikan kejutan elektrik kepada pesakit tepat pada masanya sekiranya detak jantung mereka menunjukkan sebarang perubahan.

"Sistem EV-ICD direka untuk memantau irama jantung secara berterusan dan memberikan kejutan elektrik yang tepat pada masanya bagi menjadikannya kembali normal. Ia dapat mengurangkan risiko pesakit alami kematian mengejut.

"Selain daripada memberikan rawatan defibrilasi yang menyelamatkan nyawa dan anti-tachycardia pacing dalam satu sistem implan, EV-ICD sedikit berbeza dengan kaedah tradisional implan atau ICD kerana ia dipasang di luar sistem peredaran darah.

"Ciri unik ini memberikan kelebihan dan menawarkan pilihan alternatif kepada pesakit yang memerlukan ICD tetapi menghadapi beberapa halangan," katanya dalam sidang media, hari ini.

Dr Azlan berkata, pemasangan ICD tradisional sebelum ini mempunyai wayar yang dimasukkan ke dalam salur darah untuk ia sampai ke jantung.

Namun berbeza dengan peranti EV-ICD, wayar yang digunakan itu ditempatkan di luar jantung dan salur darah.

"Ini membantu mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang yang kita lihat sebelum ini antaranya, risiko jangkitan kuman serta mengatasi cabaran seperti salur darah yang tersekat sekaligus menghalang proses implan ICD konvensional," katanya.

Mengenai ketahanan bateri, Dr Azlan berkata, ia boleh digunakan sehingga 12 tahun dan selepas tempoh itu, doktor akan melakukan pembedahan kecil bagi menggantikan bateri berkenaan.

"Manakala wayar pula boleh bertahan antara 30 hingga 40 tahun. Jadi pertukaran bateri lebih kerap berbanding wayar," katanya.

Tambah Dr Azlan, dengan peranti baharu itu, ia juga memudahkan pegawai perubatan dan doktor untuk memantau keadaan jantung pesakit dari jauh serta mengesan risiko dan komplikasi sejak awal.

"Peranti ini didatangi dengan sistem pemantauan, ada ketikanya pesakit memerlukan pemerhatian awal, jadi sistem ini akan hantar amaran kepada pihak hospital seterusnya kita panggil pesakit ini untuk rawatan sebelum perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Walaupun sudah mempunyai EV-ICD tetapi IJN masih menggunakan kaedah yang lama bagi pesakit tertentu.

"Kebanyakan pesakit akan gunakan kaedah lama atas dua sebab, iaitu pertama disebabkan kos dan kedua kebanyakan pesakit sudah berusia lebih 60 tahun.

"Pesakit mempunyai alternatif untuk menggunakan EV-ICD atau ICD. Peranti EV-ICD ini lebih sesuai digunakan oleh golongan muda serta mereka yang sedang menjalani dialisis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 5:17 PM