WEE Ka Siong bergambar selepas pertemuan di Bandar Chukai. FOTO Zatul Iffah Zolkply
WEE Ka Siong bergambar selepas pertemuan di Bandar Chukai. FOTO Zatul Iffah Zolkply
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Terengganu khususnya pengundi di Kemaman akan mempunyai dua wakil rakyat yang boleh berjuang untuk negeri itu sekiranya calon Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 2 Disember ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kemenangan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di kerusi Parlimen itu juga tidak akan menggugat kedudukan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga calon PAS sebagai Menteri Besar Terengganu selain tidak akan menumbangkan kerajaan negeri di sini.

"Maka, untuk masyarakat di sini yang berkehendakkan seorang yang boleh kekal sebagai menteri besar, maka wajar juga memilih Raja Mohamed Affandi sebagai Ahli Parlimen.

"Dia akan berperanan di Parlimen manakala Dr Sam (Ahmad Samsuri) boleh menumpukan perhatian kepada kerajaan negeri.

"Ini sesuatu yang boleh difikirkan. Beli satu (undi BN), percuma satu (dapat PAS). Dr Sam tetap akan jadi menteri besar, soal beliau nak tumbang tak akan berlaku sebab kekal 32-0 (Dewan Undangan Negeri).

"Inilah peluang kita nak tukar 8-0, sekurang-kurangnya ada semak dan imbang kalau diberi peluang kepada Raja Mohamed Affandi kerana dia boleh berperanan sebagai ahli Parlimen dan pembangkang tunggal di Terengganu," katanya ketika ditemui selepas pertemuan dengan masyarakat Cina di Bandar Chukai, di sini, hari ini.

Ka Siong berkata, kebanyakan masyarakat Cina di Kemaman faham dan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan namun pihaknya bersama rakan gabungan yang lain perlu bekerja keras untuk mendapatkan undi daripada kaum Melayu.

"Kita perlu kerja kuat untuk mendapatkan undi Melayu, saya melihat daripada segi promosi dan propaganda oleh pihak lawan juga kuat.

"(Selain itu) mereka mengedarkan macam-macam manifesto dan tulisan dalam bahasa Cina (serta) turut memberi tumpuan kepada undi masyarakat pelbagai kaum termasuk Cina.

"Kita tahu defisit undi hampir 30,000 , ia adalah tugasan yang agak sukar tapi bukan mustahil. Kita sudah berhempas pulas dan lakukan yang terbaik tapi akhirnya yang akan menentukan nasib adalah pengundi," katanya.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS.

BN mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysiamanakala Ahmad Samsuri diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 7:27 PM