PERSIAPAN rancak dilakukan sebelum bermula Karnival Jom Heboh di MITC bermula esok hingga Ahad. FOTO Amir Mamat
PERSIAPAN rancak dilakukan sebelum bermula Karnival Jom Heboh di MITC bermula esok hingga Ahad. FOTO Amir Mamat
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Karnival Jom Heboh (KJH) 2024 di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini, meriah dan mendapat sambutan hebat pengunjung biarpun membuka tirainya pada hari bekerja.

Tinjauan mendapati reruai antaranya Studio Tonton Drama Sangat (TV3, TV9, Tonton), Studio Jom Heboh, New Straits Times Press (NSTP), Vocket, Hot FM dan Kool 101 serta KWSP padat dengan pengunjung.

Pengurus Besar Jabatan Pengedaran NSTP, Prakash Munusamy berkata, sambutan orang ramai amat menggalakkan dan pihaknya berharap lebih ramai pengunjung hadir pada esok dan Ahad.

Menurutnya, NSTP membawa konsep Dinoland@NSTP buat kali ketujuh di KJH 2024 dengan penambahbaikan aktviti dibuat di setiap lokasi.

"Kali ini kita ada konsep 'glow in the dark', iaitu dari kegelapan kepada cahaya dan satu lagi konsep hutan dengan robot dinasour yang bergerak dan statik.

"Konsep ini amat menarik ditambah dengan latar bunyi dan suasana yang mampu membawa pengunjung 'kembali' ke zaman pra sejarah.

"Tujuan kita untuk memberi pengunjung kegembiraan dan pengalaman bersama ahli keluarga, bukan saja datang beli barang dan balik," katanya ditemui di reruai NSTP tadi.

Menurut Prakash, tiket untuk memasuki Dinoland@NSTP serendah RM20 untuk satu keluarga dan mereka turut diberi cenderahati berupa tiga akhbar iaitu The New Straits Time, Berita Harian dan Harian Metro berserta snek, coklat serta minuman.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati pengunjung tertumpu kepada pertandingan e-sukan iaitu Tonton eSports War Of Clans yang disertai 32 pasukan dengan tawaran hadiah wang tunai terkumpul hampir RM5,000 bermula jam 9 pagi tadi.

Seorang pengunjung, Che Wan Zakiah Che Wan Ismai, 56, berasal dari Terengganu berkata, dia sekeluarga tidak melepaskan peluang hadir ke KJH sebaik mengetahui ia diadakan di Melaka.

"KJH bagi saya bukan hanya hiburan semata-mata, malah memberi informasi berguna kepada orang ramai, misalnya di gerai pameran KWSP yang membolehkan orang ramai membuka atau mengemas kini akaun simpanan.

"Di reruai Dinoland@NSTP misalnya, saya dan anak-anak serta cucu dapat melihat zaman pra sejarah termasuk dinasour termasuk merakam gambar," katanya.

Bersempena ulang tahun TV3 yang ke-40 ini, pelbagai aktiviti, tawaran hebat dan hadiah menarik disediakan untuk orang ramai termasuk program Buletin Challenge pada jam 5.30 petang ini di Studio Tonton Drama Sangat yang menampilkan personaliti TV3 seperti Asrulnizam Kadir, Shafiq Adnan dan Fatin Hamimah dari TV3 dan Saree Abdullah serta Fahiz Ariff (TV9).

Pada sebelah malam ini berlangsung pertandingan Tonton Esports War Of Clan peringkat akhir pada jam 8 malam diikuti Jom Lokal Jam pada jam 9 malam di Pentas Utama.

Program Jom Local Jam, memberi peluang kepada warga Melaka yang berbakat dalam menyanyi mempamerkan kebolehan mereka serta mencari peluang untuk berkecimpung dalam industri hiburan tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 4:02 PM