Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar - Foto Arkib NSTP
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar - Foto Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang hanya berbaki tidak sampai dua hari lagi, calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru pengundi menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat, Sabtu ini.

Seruan itu dilontarkan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu menerusi satu rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat yang disiarkan di Facebook PAS Terengganu.

Menerusi rakaman itu, Ahmad Samsuri mengingatkan semua pengundi di Parlimen Kemaman bahawa 2 Disember ini adalah tarikh penting bagi pengundi yang berdaftar.

"Saya dengan rasa rendah diri, menyeru pengundi yang berada di Kemaman khususnya untuk keluar mengundi dan menggunakan hak mereka untuk membuat pemilihan.

"Kepada pengundi yang berada di luar Kemaman sama ada di kawasan sempadan atau Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan sebagainya, pulanglah untuk menunaikan hak saudara dan saudari sekalian.

"Ketika pulang nanti, jagalah tata tertib di jalan raya. Pandulah dengan cermat supaya selamat pulang dan kembali ke tempat kerja masing-masing," katanya.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satuantara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noormanakala Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS sebelum ini.

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing termasuk 387 anggota polis dan sembilan anggota tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 6:07 PM