FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Rom: Polis Itali menumpaskan rangkaian sindiket pemerdagangan orang yang menggunakan kereta mewah untuk menyeludup pendatang China ke Itali sebelum merampas pasport mereka dan memperlakukan mereka seperti hamba.

Penyeludup meminta pendatang itu menyamar sebagai "warga Asia yang tidak dicurigai, berpakaian kemas, dengan sedikit bagasi, mengembara dengan kereta berkuasa tinggi dan mahal, dipandu oleh warga China yang tinggal di Itali selama bertahun-tahun dan bertutur Bahasa Itali", kata polis dalam satu kenyataan.

Penyiasat dimaklumkan mengenai kemungkinan rangkaian sindiket itu selepas seorang warga China ditahan semasa pemeriksaan rutin sekatan jalan raya di sempadan antara Itali dan Slovenia pada April, didapati mengangkut empat warga China tanpa dokumen.

Siasatan mendapati "kewujudan aliran berterusan warga China tidak tetap yang dalam kumpulan kecil, diterbangkan ke sempadan luar Eropah di negara (terutamanya Serbia) di mana mereka masuk dengan pengecualian visa", kata kenyataan itu.

"Dan kemudian, dari sana, mereka dibawa dengan kereta melalui Bosnia, Croatia dan Slovenia, sehingga ke sempadan negara Itali", katanya.

Pendatang yang diseludup diangkut ke 'rumah selamat' berhampiran Venice, di mana mereka tinggal selama satu atau dua hari sebelum dibawa sama ada ke kawasan Itali atau negara Kesatuan Eropah yang lain seperti Perancis dan Sepanyol.

Penyeludup merampas pasport mereka di rumah perlindungan dan "sejak itu... (mereka) terdedah kepada eksploitasi teruk sehingga hutang yang ditanggung untuk perjalanan itu dibayar balik", kata kenyataan itu.

Pendatang itu ditahan "tanpa sebarang kemungkinan hidup bebas atau separuh bebas, tanpa bantuan perubatan, tanpa apa-apa kecuali katil dan tempat untuk bekerja selama-lamanya," kata polis, menyifatkan ia sebagai sejenis "perhambaan".

Polis menahan sembilan orang yang didakwa dalam rangkaian sindiket pemerdagangan semasa operasi itu dan mengenal pasti 77 pendatang tanpa izin, kebanyakan daripada mereka wanita dan beberapa remaja bawah umur yang berusia antara 15 dan 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 4:06 PM