MOHAMAD, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
MOHAMAD, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Umno masih jauh dari berjaya dalam usahanya untuk mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu kepada parti itu, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau mengakui tugas mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan Umno ketika ini adalah sukar, tetapi bukan mustahil.

Namun, buat masa ini, katanya Umno mesti menerima realiti bahawa orang Melayu masih jauh daripada mempercayai parti itu sebagai wakil politik mereka yang berkesan.

"Keputusan (Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen) Kemaman menyedarkan Umno bahawa ia mesti mempunyai resilient atau ketahanan untuk terus berjuang dalam arena politik Melayu yang semakin dinamik.

"(Keputusan PRK Parlimen) Kemaman adalah indikasi jelas bahawa mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan Umno adalah perjalanan jauh, tidak linear dan memakan masa panjang," katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Justeru, beliau berkata, semangat, cara kerja, strategi dan kepimpinan, semuanya perlu sentuhan dan kecekalan baru serta kesabaran, jika Umno ingin bersaing untuk menjuarai semula pengaruh dan kepercayaan bangsa Melayu dalam politik.

"Ujian sebenar dalam semua ini ialah ujian ketahanan. Umno tidak akan mudah menyerah apalagi berfikir, bahawa jalan keluar bagi meraih sokongan Melayu sudah tertutup rapi," katanya.

Umno kini katanya, terus dijauhi golongan muda Melayu serta kelihatan masih belum berjaya resonates (impak berkesan) dengan generasi muda sehingga penolakan golongan berkenaan terhadap Umno sudah semakin berterusan.

"Sesuatu harus dilakukan dengan segera. Generasi muda berpotensi untuk dimenangi dan diraih sokongan mereka. Hanya kaedahnya mesti sesuai citra, aspirasi dan keperluan kehidupan mereka," katanya.

Mohamad berkata, PRK Parlimen Kemaman juga memberi pedoman bahawa mengimbangi politik perkauman dan agama adalah sukar dan kompleks.

"Bukan mudah untuk menghadirkan pilihan jalan politik sederhana. Ideologi pelampau kanan, retorik perkauman dan agama, semuanya sangat mudah untuk dimanfaatkan bagi meraih populariti. Umno tidak boleh tergelincir dari landasan kesederhanaannya. Ia adalah benteng penting untuk Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

"(PRK Parlimen) Kemaman adalah cerita Kemaman. Ia hanya menewaskan Umno tetapi tidak sesekali mematikan Umno. Ia adalah pertandingan dalam liga demokrasi yang ada menang dan tewasnya. Dan Umno hanya tewas, seperti pelbagai kekalahan yang pernah ia lalui. Di lain ketika, pasti akan ada kemenangan untuk Umno," katanya.

Pada PRK Parlimen Kemaman Sabtu lalu, calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tewas kepada calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan majoriti 37,220 undi.

Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi berbanding 27,778 yang diraih Raja Mohamed Affandi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 8:05 PM