GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), menjangkakan dana pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (Brief-i) sebanyak RM50 juta yang diperuntukkan oleh Bank Rakyat akan habis disalurkan kepada peminjam yang layak menjelang Ogos tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, setakat 27 Jun 2024, Brief-i sudah merekodkan lebih 1,000 permohonan daripada usahawan di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah ini, 135 permohonan sedang diproses membabitkan jumlah pembiayaan sebanyak RM5.7 juta.

"Bank Rakyat sudah meluluskan 43 permohonan program pembiayaan Brief-i bernilai RM3.8 juta.

"Dengan adanya program pembiayaan seperti Brief-i, kerajaan dapat memastikan bahawa lebih ramai usahawan India mampu mengakses dana yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan mereka, sekali gus memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

"Kami jangkakan jumlah RM50 juta bagi Brief-i akan disalurkan sepenuhnya antara Ogos ke September ini kerana menerima sambutan daripada usahawan dan kami harap jumlah pembiayaan itu akan ditambah pada masa akan datang, justeru kami mengalu-alukan usahawan India memanfaatkan peluang ini," katanya kepada media di Majlis Penyerahan Cek Replika Program Pembiayaan Brief-i kepada usahawan India di sini, hari ini.

Menurutnya, kerjasama antara kerajaan dengan institusi kewangan seperti Bank Rakyat adalah amat signifikan dalam membantu usahawan mencapai matlamat perniagaan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, menerusi program Brief-i ini, ia dapat membantu usahawan untuk berinovatif selain dapat mengakses dan meneroka peluang perniagaan era digital.

Beliau berkata, iaseterusnya membantu memacu pemecutan pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan ke arah pembangunan sosioekonomi negara yang lebih progresif dan inklusif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 4:21 PM