JOHARI. FOTO Rohanis Syukri
JOHARI. FOTO Rohanis Syukri
Noor Atiqah Sulaiman


Chukai: Barisan Nasional (BN) menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa parti itu kini tidak mempunyai pemimpin untuk diangkat menjadi calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Sebaliknya, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata parti itu terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana individu yang berminat untuk menjadi calon.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, tindakan mengangkat orang bukan di dalam parti sebagai calon bukannya kali pertama diadakan, tetapi sudah dilaksanakan pada PRK Cameron Highlands yang pada ketika itu meletakkan seorang bekas pegawai polis sebagai sandaran.

"Sebenarnya dalam BN ini, satu perkara yang saya agak tertarik ialah kita mengambil maklum bahawa kalau tidak ada kesediaan masyarakat nak terima kita, kita akan cuba cari mana-mana individu yang berminat untuk bekerjasama dengan parti.

"Jadi kita nampak Tan Sri Affandi (Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor) berminat untuk luangkan masa dan berbakti pada masyarakat di sini, jadi kita rasa itulah calon yang paling sesuai. Kita tidak sekat orang dan itulah konsep yang digunakan oleh BN.

"Sebab itu di Cameron Highlands (guna pendekatan yang sama), akhirnya dia menang dan kini sudah menjadi seorang Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang hebat di Parlimen. Kalau kita tidak beri peluang sebelum ini, kita tidak akan tahu," katanya selepas mengikuti kempen calon BN, di sini hari ini.

PRK Parlimen Kemaman yang akan diadakan 2 Disember ini menyaksikan saingan antara Raja Mohamed Affandi dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Pilihan raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pada PRU15, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dalam pada itu, mengulas lanjut Johari berharap PRK Kemaman BN mengulangi kejayaan di Cameron Highland serta memohon supaya pengundi di Parlimen ini untuk memberikan peluang yang sama kepada Raja Mohammed Affandi.

Katanya, pada masa akan datang, lebih ramai golongan muda akan dibantu menjadi pemimpin seterusnya membawa parti keramat itu terus ke hadapan.

From: Atiqah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 1:18 PM