ABIDIN, gambar fail. FOTO NSTP
ABIDIN, gambar fail. FOTO NSTP
Siti Aminah Mohd Yusof


Nibong Tebal: Calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail hari ini menerusi laman Facebooknya sempat berkongsi hantaran kisah anak sulungnya memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu.

Menerusi klip video sembang santai bersama Ameerah Nibong Tebal, beliau turut berkongsi anak keduanya yang kini berada di Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Syeikh Abdullah Fahim sudah menghafaz 21 juzuk al-Quran.

"Anak perempuan cenderung kepada agama pada masa sama kita tak abai akademik dan ketika umur empat hingga enam tahun, dia bersekolah Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam) dan Tahun 1 hingga 6 bersekolah agama swasta.

"Sekarang Tingkatan 3 belajar di SMKA Syeikh Abdullah Fahim sudah hafaz 21 juzuk (al-Quran) tabakarallah. Bila bapa tak boleh, biar kita serah bagi dekat anak," katanya dalam video itu.

Sebelum ini, sejak hari penamanaan calon Sabtu lalu, kisah kelulusan akademik Abidin, 56, menjadi antara topik bualan hangat Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Abidin dalam perkongsian itu turut bercerita anaknya sulungnya sebenarnya tidak begitu gemar kejayaannya diua-uarkan namun beliau berharap kisah itu menjadi suntikan semangat untuk pelajar SPM lain.

"Alhamdulillah, Allah bagi keputusan cemerlang 11A sampai cikgu sekolahnya di SMKA Maahad Al Mashoor Al Islami pada hari keputusan tanya, bagi makan apa (kepada anak).

"Sebab dari segi akhlak...apa tak boleh nak cakap sebab saya pun bukan baik sangat pun," ujarnya merendah diri.

Menurut video itu, beliau begitu menjaga pemakanan dan mengelak sumber syubhah kerana ia menjadi darah daging anak-anak.

Beliau dalam video itu turut berkongsi pandangan mengenai wanita bekerjaya dan berkata isterinya juga seorang wanita bekerjaya dan tiada isu untuk kaum Hawa menceburi bidang yang diminati asalkan mengikut syariat.

Pakatan Harapan (PH) menamakan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, 60, daripada PKR sebagai calon menentang Abidin dalam persaingan satu lawan satu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 5:29 PM