Zatul Iffah Zolkiply dan Zaid Salim


Chukai: Keputusan Pas memilih Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini bukan bermakna parti itu ketandusan calon.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan kriteria ditetapkan, selain mengambil kira kedudukan Ahmad Samsuri yang menjadi pilihan pertama pengundi di Parlimen Kemaman.

Beliau berkata, pimpinan parti juga yakin Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas bukan sahaja mampu membawa suara pengundi di Parlimen Kemaman semata-mata, tetapi membawa agenda Terengganu di peringkat Persekutuan sekiranya diberi mandat menjadi ahli Parlimen kelak.

"Bila saya umumkan tadi, kita tengok respons daripada masyarakat sangat positif… bukan soal ketandusan calon.

"Seperti yang sebut, kita ada lima calon yang diangkat (melepasi tapisan) dan kita menilai calon-calon itu, cuma bila kita letak calon (terdapat) banyak faktor-faktor kita ambil kira (iaitu) bukan sahaja peluang untuk menang tetapi peranan besar yang beliau boleh mainkan.

"Insya-Allah, (yakin dengan pemilihan Ahmad Samsuri) kerana berdasarkan maklumat yang dibuat di bawah membabitkan tiga kategori di Kemaman ini, mereka meletakkan Dr Ahmad Samsuri sebagai pilihan pertama," katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon Pas PRK Kemaman di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square di sini, malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata, pemilihan Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang juga dilihat dapat memudahkan pentadbiran negeri dan perkara yang membabitkan negeri yang boleh dibawa ke peringkat Persekutuan.

"Dengan mengetengahkan beliau (Ahmad Samsuri) daripada sudut urusan pentadbiran pun saya rasa beliau boleh jawab secara langsung dalam Parlimen, Insya-Allah, mudah-mudahan beliau berjaya," katanya.

Terdahulu, Pas mempertaruhkan Ahmad Samsuri sebagai calon PRK Parlimen Kemaman bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya yang lalu.

Ini adalah penampilan pertama Pengerusi Perikatan Nasional Terengganu di kerusi parlimen, bagi menentang calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK itu, 2 Disember depan.

Dr Ahmad Samsuri diumumkan sebagai Calon PAS. FOTO GHAZALI KORI
Dr Ahmad Samsuri diumumkan sebagai Calon PAS. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 9:19 AM