Zatul Iffah Zolkiply dan Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menganggap dakwaan beliau sebagai calon Perdana Menteri masa depan bagi Perikatan Nasional (PN) sebagai andaian dalam politik terutama menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menyifatkan perkara itu sekadar spekulasi dan tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk membuat andaian.

Ahmad Samsuri memaklumkan tidak mengetahui dakwaan berkenaan memandangkan tiada perbincangan secara khusus mengenai perkara itu.

"Orang kata bukan saya kata. Kita tak boleh nak halang orang membuat spekulasi, orang buat macam-macam. What can I say... terpulang pada masing-masing nak buat macam mana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering d sini hari ini

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS turut menolak dakwaan yang menyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan beliau sebagai calon PRK Parlimen Kemaman.

"Bila Tun (Mahathir) hadir ke Terengganu untuk berbincang pasal SG4 (State Government 4), Tun tidak sentuh politik, jadi tak ada kena mengena (cadangan calon) dengan Tun pasal PRK," katanya.

Media sebelum ini melaporkan pertimbangan PAS mencalonkan Ahmad Samsuri pada PRK Parlimen Kemaman bertujuan mengetengahkan pemimpin itu sebagai calon Perdana Menteri masa depan bagi PN.

Langkah itu disifatkan sebagai antara strategi PAS menampilkan calon Perdana Menteri daripada golongan profesional pada masa depan.

AHMAD Samsuri semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 1:56 PM