DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO Faiz Anuar
DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO Faiz Anuar
Mohd Iskandar Ibrahim


Shah Alam: Pas mengesahkan bekas Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid antara yang tersenarai sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan berkenaan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bagaimanapun berkata parti itu masih lagi belum berbincang perkara terbabit secara khusus.

"Parti belum membuat keputusan, belum bincang secara khusus dan kita masih lagi meneliti soal calon yang akan bertanding pada PRK Parlimen Kemaman.

"Dia (Che Alias) antara yang tersenarai (sebagai calon) sebab mahkamah membuat keputusan bahawa dia boleh bertanding," katanya pada sidang media Muktamar Pas ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK Parlimen Kemaman di Terengganu pada 2 Disember dengan 18 November ditetapkan sebagai hari penamaan calon.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang mengumumkan hari pengundian awal ditetapkan pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu, membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia selepas pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Tuan Ibrahim berkata, proses pemilihan calon mewakili parti itu bermula apabila Pas kawasan menghantar nama kepada Pas Pusat dan kemudiannya kepada Majlis Syura untuk tapisan sebelum dihantar semula di peringkat Pusat untuk disahkan.

"Setakat ini Majlis Syura pun belum terima lagi (senarai nama)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 4:57 PM