Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar dan Zaid Salim


Chukai: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN mempertaruhkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor manakala Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS sebelum ini.

Ia diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS diiringi pencadang, Che Alias Hamid yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dan penyokong, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai.

Sementara itu, Raja Mohamed Affandi diiringi Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai pencadang dan bekas Ahli Parlimen Kemaman , Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai penyokong.

Ahmad Samsuri menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi manakala Raja Mohamed Affandi menyerahkan borang berkenaan pada jam 9.08 pagi.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan Che Alias pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas menerima petisyen yang difailkan calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Anselm Charles Fernandis Hakim Anselm Charles menerima dakwaan pempetisyen di dalam Petisyen Pilihan Raya bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada Che Alias.

Parlimen Kemaman mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

CALON BN Raja Mohamed Affandi (kanan) bersama Calon Pas, Ahmad Samsuri pada Hari Penamaan Calon bagi PRK Parlimen Kemaman di Majlis Perbandaran Kemaman. FOTO Ghazali Kori
CALON BN Raja Mohamed Affandi (kanan) bersama Calon Pas, Ahmad Samsuri pada Hari Penamaan Calon bagi PRK Parlimen Kemaman di Majlis Perbandaran Kemaman. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 10:57 AM