Bendera parti Barisan Nasional dan Pas di Chukai, PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS. FOTO ROHANIS SHUKRI
Bendera parti Barisan Nasional dan Pas di Chukai, PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS. FOTO ROHANIS SHUKRI
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Pas masih mengekalkan momentum gelombang hijau yang kuat sekali gus akan membawa kemenangan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.

Timbalan Yang Dipertua Pas Kemaman Hanafiah Mat berkata, pihaknya mendapat maklum balas pengundi dari pelbagai peringkat yang mereka menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai itu berkata, pihaknya difahamkan sebahagian orang Umno menolak calon Barisan Nasional (BN),

Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK kali ini.

"Orang Umno menyatakan yang calon BN ini bukannya dari kepimpinan parti itu di Kemaman, seoalah-olah tidak ada seorang pun pemimpin di Kemaman yang layak bertanding pada PRK kali ini.

"Jadi, dengan perpecahan yang berlaku itu kita harap mereka memberi undi kepada PasS dengan harapan majoriti kita akan meningkat," katanya di sini.

Hanafiah berkata, pihaknya juga menaruh keyakinan terhadap warga Felda di Kemaman akan memberi sokongan kepada calon Pas.

"Saya yakin penduduk Felda akan menyokong penuh kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) kerana mereka tahu ketika pemerintahan PN yang menyelesaikan hutang mereka.

"Malah, generasi kedua dan ketiga semua 'lari' menyokong Pas, yang tinggal hanya generasi satu masih menyokong Umno," katanya.

Dalam pada itu, Hanafiah berkata, pihaknya turut menambah keyakinan apabila Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat Ahmad Samsuri ada kelayakan dan personaliti yang baik untuk memimpin negara pada masa depan.

Beliau berkata, pihaknya menyokong penuh sekiranya Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas diangkat sebagai Perdana Menteri berdasarkan kredibiliti yang ada pada beliau.

"Ketenangan yang ada pada calon PAS (Ahmad Samsuri) menyelesaikan satu-satu isu, tidak menyerang peribadi seseorang dan kejayaan mentadbir Terengganu yang melayakkannya menjadi seorang Perdana Menteri kepada semua bangsa dan parti-parti politik di negara ini," katanya.

Pada PRK itu, Ahmad Samsuri berdepan Raja Mohamed Affandi bagi menentukan kerusi Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.

Pada PRU-15 November lalu, Che Alias berjaya mempertahankan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas menewaskan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Said dengan memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Che Alias memperolehi undi 65,714 undi, manakala Ahmad mendapat 38,535 undi, namun kemenangan wakil rakyat Pas itu dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 2:49 PM