Dr Samsuri.
Dr Samsuri.
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: PAS memberi bayangan parti itu mempunyai agenda yang besar apabila memilih Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rekod baik Ahmad Samsuri sepanjang mentadbir Terengganu diharapkan dapat digunakan dan disumbangkan kepada negara sekiranya beliau memenangi kerusi Parlimen pada 2 Disember ini.

Tuan Ibrahim berkata, selain rekod cemerlang dan memenuhi kriteria ditetapkan, Naib Presiden PAS itu menjadi pilihan pengundi yang mahu beliau menjadi calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen dimenangi PAS sebelum ini.

"Orang tanya pasal (sebab) apa kita lantik Dr Ahmad Samsuri jadi calon kita (di Kemaman), tentulah kita faham PAS pusat ada agenda besar sebab itu kita bawa Dr Ahmad Samsuri ke Parlimen.

"Ada benda besarlah, kalau benda kecil letak orang lain pun Kemaman, insya-Allah boleh menang …tapi kita tak nak sekadar menang Kemaman, kita mahu Dr Ahmad Samsuri kalau dia berjaya sumbang kepada Terengganu, mesti berjaya menyumbang untuk Malaysia, insya-Allah," katanya ketika menyampaikan ceramah di Unit Daerah Mengundi Felda Kerteh 6 di sini malam tadi.

Menurut Tuan Ibrahim, keberadaan seorang Menteri Besar di Parlimen juga penting bagi memudahkan segala urusan pentadbiran negeri dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kerajaan pusat.

Katanya, perkara sama dilakukan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang turut menjadikan menteri besar dan ketua menteri sebagai ahli Parlimen.

"Penting menteri besar ini duduk dalam Parlimen, isu Terengganu boleh jawab sebab dia ada maklumat dalam kepala (dan) apa saja keperluan (dan) perancangan pembangunan Terengganu, dia boleh bicara terus bersama di depan Perdana Menteri dan menteri-menteri.

"Itu kalau jadi pembangkang, kalau jadi kerajaan, semua sedia maklumlah apa yang sepatutnya kita buat, kita nak angkat Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang kita menang ini sebagai mekanisme untuk mengangkat ekonomi orang Melayu di Malaysia, insya-Allah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan pertimbangan PAS mencalonkan Ahmad Samsuri pada PRK Parlimen Kemaman bertujuan mengetengahkan pemimpin itu sebagai calon Perdana Menteri masa depan bagi Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri menganggap dakwaan beliau sebagai calon Perdana Menteri masa depan bagi PN sebagai perkara biasa dalam politik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 11:07 AM