SARINGAN kesihatan membabitkan beberapa prosedur rutin.
SARINGAN kesihatan membabitkan beberapa prosedur rutin.
Muhamaad Razis Ismail


DALAM kehidupan hari ini, kita dihimpit kesibukan melaksanakan tanggungjawab dengan tugas, keluarga dan masyarakat.

Oleh itu, ramai yang lebih mementingkan urusan kerja, tanggungjawab di rumah dan perhubungan berbanding kesihatan.

Kebiasaannya, seseorang itu hanya mengunjungi klinik atau hospital apabila mempunyai simptom sesuatu penyakit atau apabila sudah tidak berdaya menanggung kesakitan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr Nor Faiza Mohd Tohit berkata, pembudayaan untuk melakukan saringan kesihatan ketika sihat belum mendapat tempat yang meluas dalam masyarakat.

Katanya, saringan kesihatan adalah tindakan proaktif bagi mengelak atau mengesan penyakit untuk kehidupan yang lebih sihat dan bermakna.

"Saringan kesihatan membabitkan beberapa prosedur rutin seperti mengambil ukuran dan timbangan badan, pemeriksaan tubuh, darah serta air kencing.

"Ada juga pemeriksaan yang menggunakan mesin asas seperti untuk mengesan rentak jantung, mengesan kepadatan tulang dan mengesan komposisi tubuh," katanya,

Beliau berkata, sekiranya sesuatu penyakit dapat dikesan pada peringkat awal, peluang untuk sembuh atau mengurangkan komplikasi penyakit lebih cerah.

"Kos rawatan juga dapat dikurangkan. Pelbagai langkah pencegahan dapat diambil bagi mengelak penyakit.

"Sebagai contoh, bagi mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas disarankan melakukan saringan kesihatan setiap enam bulan sekali," katanya.

Dr Nor Faiza berkata, memandangkan gaya hidup segelintir masyarakat pada hari ini yang kurang mengamalkan gaya hidup sihat, saringan kesihatan perlu dilakukan sebelum usia 40 tahun lagi.

"Antara pemeriksaan itu ialah melihat tahap kolesterol, gula, keadaan fungsi hati dan buah pinggang.

"Sebarang kepincangan pada keputusan darah dapat membantu mereka mengambil tindakan pencegahan seperti mengawal pemakanan dan melakukan senaman," katanya.

Katanya, selain itu, ketika melakukan saringan kesihatan, pengamal perubatan akan turut menilai faktor risiko pada diri seseorang dalam menganggarkan kebarangkalian mendapat sesuatu penyakit.

"Dengan mengetahui risiko itu, seseorang itu boleh melakukan langkah pencegahan penyakit. Selain itu, dia juga akan menjadi lebih peka terhadap simptom yang mungkin dialami.

"Sebagai contoh, seseorang wanita yang mempunyai ahli keluarga menghidap barah payudara atau barah ovari akan mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat kanser yang sama. Oleh itu, dia perlu lebih peka terhadap perubahan pada dirinya yang berkaitan simptom penyakit itu," katanya.

Mengulas lanjut, jika penyakit dikesan ketika saringan kesihatan, urusan merawat dapat dilakukan segera.

"Selalunya, penyakit yang dikesan melalui saringan kesihatan berada pada peringkat awal. Peluang seseorang untuk sembuh atau mengelak penyakit itu menjadi lebih teruk lebih tinggi," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai meningkatkan kesedaran untuk melakukan saringan kesihatan dengan kerap, sekurang-kurangnya setahun sekali.

"Seandainya kita tergolong dalam golongan berisiko bagi sesuatu penyakit, maka saringan kesihatan perlu dilakukan dengan lebih kerap dan lebih bertumpu kepada penyakit itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2024 @ 7:01 AM