AZALINA pada Perjumpaan Bersama Jentera Penerangan dan Wanita UMNO di Kemaman mencabar Ahmad Samsuri supaya meletak jawatan sebagai menteri besar. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
AZALINA pada Perjumpaan Bersama Jentera Penerangan dan Wanita UMNO di Kemaman mencabar Ahmad Samsuri supaya meletak jawatan sebagai menteri besar. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said mencabar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu.

Cabaran itu dilontarkan beliau susulan Ahmad Samsuri yang diumum sebagai calon PAS untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, jawatan tertinggi negeri itu perlu dilepaskan Ahmad Samsuri jika yakin akan memenangi PRK nanti.

"Kalau betul dia yakin, saya nak cabar dia (Ahmad Samsuri) hari ini letak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu (dan) fokus kepada Parlimen Kemaman (dan) lawan satu dengan satu (baru) adil.

"Sebab kita rasa kita kuat, tapi dia nak bertanding atas tiket sebagai Menteri Besar sebab bila kalah (masih) boleh jadi Menteri Besar.

"Maknanya dia tak amanah, ikhlas pada pengundi Kemaman, tapi saya nak tanya kalau dia berani, letak jawatan, bertanding (dan) jangan jadi Menteri Besar, tanding 0-0… satu lawan satu, kita tengok mana yang kuat," katanya ditemui pada Perjumpaan Bersama Jentera Penerangan dan Wanita UMNO di Pejabat UMNO Kemaman di sini, hari ini.

Azalina berkata, Barisan Nasional (BN) tidak tergugat dengan pemilihan Ahmad Samsuri sebagai calon bagi PRK kerusi berkenaan, malah menawarkan calon terbaik yang dapat memberi khidmat kepada pengundi Kemaman.

"Saya rasa macam PAS tidak ada orang lain dan saya lihat PAS ini mungkin merasakan itu sahaja (calon) yang terbaik yang nak ditawarkan," katanya.

Semalam, PAS mengumumkan mempertaruhkan Ahmad Samsuri untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman pada PRK, 2 Disember ini.

Proses penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan esok.

Sebelum ini, BN mengumumkan parti itu bakal diwakili Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 8:56 PM